BERITA TERKINI   PRN Melaka: Pengumuman calon PH ditangguh ke 24 Okt atas permintaan kepimpinan negeri, bukan isu permit atau lokasi - Fahmi | PRN Melaka: Perbincangan senarai calon PH selesai lebih 95 peratus - Fahmi | Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah, perlu maklumkan ketidakhadiran - JPWPKL | Semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur beroperasi secara bersemuka esok, aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan - JPWPKL | Pelabur China berminat bawa pelaburan aluminium berskala besar ke Samalaju, Sarawak - TPM Ahmad Zahid | 

Syarikat Perlu Ambil Kira Alam Semula Jadi, Impak Jangka Panjang - Hoffmann

Oleh Alyaa Natasha Azhar

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Syarikat perlu mengintegrasikan alam semula jadi ke dalam model perniagaan mereka dan mengutamakan impak kemasyarakatan jangka panjang berbanding pulangan kewangan jangka pendek untuk mencapai kemakmuran mampan.

Pengerusi Bersama Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) André Hoffmann berkata model kapitalis sedia ada yang menumpukan kepada memaksimumkan pulangan pemegang saham jangka pendek, kini semakin menunjukkan hadnya.

Ad Banner

“Kini kita sudah tahu. Kita telah mencapai had seperti yang dijelaskan oleh Johan Rockström semalam, dan terdapat kos yang perlu ditanggung dalam penggunaan sumber semula jadi ini.

“Jadi, jika kita benar-benar mahu mewujudkan kemakmuran seperti yang kita nikmati sekarang dan mengekalkannya, kita bukan sahaja perlu melihat had, malah perlu menerapkan semula elemen alam semula jadi dalam cara kita menjalankan perniagaan,” katanya kepada Bernama di luar persidangan Global Tipping Points Conference 2026 di sini hari ini.

Hoffmann, yang juga Naib Pengerusi Roche Holding AG turut memberi amaran bahawa tumpuan semata-mata kepada keuntungan kewangan jangka pendek sambil mengabaikan alam semula jadi dan modal sosial boleh mewujudkan sistem yang tidak stabil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata, syarikat juga perlu menilai impak mereka terhadap modal insan, modal alam semula jadi dan modal sosial, serta memahami ketiga-tiga elemen itu saling bergantung dalam menguruskan risiko dan menjana modal produktif.

“Bagaimanakah kita memahami cara menguruskan ketiga-tiga jenis modal ini dengan risiko paling rendah untuk menghasilkan modal produktif, yang menjadi ukuran kita? Bagi saya, saya boleh melihatnya dari sudut berbeza; apabila orang berkata kita tidak mampu menanggung kosnya, saya akan katakan bahawa kita tidak mampu untuk tidak melaksanakannya.

“Kita tidak boleh mengabaikannya kerana perniagaan anda dalam bahaya jika anda hanya memikirkan hari esok dan bukan hari selepas esok," katanya.

Mengulas ekonomi ASEAN yang berkembang pesat seperti Malaysia, Hoffmann menggesa peralihan daripada ekonomi linear kepada model ekonomi kitaran dan regeneratif.

Beliau berkata pertumbuhan pesat rantau itu membuka peluang untuk mengambil iktibar daripada kesilapan yang dilakukan di tempat lain, sambil menegaskan negara perlu memulihkan alam semula jadi dan bukannya hanya menumpukan kepada eksploitasi sumber.

“Kelebihan berada di negara-negara yang mencatatkan pertumbuhan tinggi adalah kita berpeluang mengelakkan kesilapan yang dilakukan di tempat lain dan tidak hanya menumpukan kepada eksploitasi sumber.

“Sesungguhnya, jika kita mahu berjaya, kita perlu belajar untuk memulihkan alam semula jadi. Kita perlu berupaya memberikan kembali lebih banyak daripada apa yang kita ambil,” katanya lagi.

Mengenai reaksi global terhadap kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Hoffmann mengakui keperluan pelaporan telah menjadi beban kepada sesetengah usahawan, tetapi menegaskan pentingnya untuk menerapkan pertimbangan ESG dengan lebih ikhlas dan cekap.

Beliau turut menggesa pengukuhan kerjasama antara sektor awam dengan swasta serta mewujudkan rangka kerja kawal selia yang bersesuaian bagi membolehkan syarikat mewujudkan nilai untuk masyarakat sambil menyokong keusahawanan.

Katanya kejayaan dalam perniagaan perlu diukur berdasarkan sumbangannya kepada masyarakat dan bukannya keuntungan kewangan semata-mata.

“Kita perlu mentakrifkan semula kejayaan. Kejayaan bukanlah jumlah wang yang banyak dalam akaun bank, mahupun dividen yang sentiasa meningkat. Kejayaan yang penting adalah menyumbang secara positif kepada masyarakat,” tambahnya.

-- BERNAMA