Pasaran Getah Terus Catat Penurunan Di Tengah-tengah Kelemahan Niaga Serantau
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur melanjutkan penurunannya untuk dua sesi dagangan berturut-turut pada Khamis dipengaruhi oleh penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah penanda aras yang lebih lemah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata, jangkaan pengeluaran getah asli yang lebih tinggi di Thailand iaitu sebuah negara pengeluar utama semasa musim puncak menoreh turut menjejaskan sentimen pasaran.
"Niaga hadapan getah Jepun merosot selepas mencatatkan kenaikan tiga sesi dagangan berturut-turut berikutan bekalan getah musim puncak mengatasi kesan sokongan daripada harga minyak.
"Pengeluaran getah Thailand terus pulih memandangkan musim puncak menoreh semakin rancak dan keadaan cuaca bertambah baik," katanya kepada Bernama.
Sentimen pasaran terus terjejas akibat ketegangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat sekali gus berterusan mencetuskan ketidaktentuan di seluruh pasaran kewangan global.
Bagaimanapun, peniaga itu memberitahu penurunan tersebut sebahagiannya dapat dibendung oleh pengeluaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif.
Data ekonomi itu memberi isyarat bahawa tekanan inflasi semakin reda serta langkah terbaharu Suruhanjaya Eropah untuk menyokong pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).
"Harga pengeluar AS menyusut 0.3 peratus pada Jun, penurunan paling ketara sejak April 2025 sekali gus meredakan kebimbangan terhadap inflasi.
"Sementara itu, Suruhanjaya Eropah memperkenalkan langkah bagi mempermudah pelaksanaan EUDR sekali gus mengurangkan ketidaktentuan kawal selia menjelang penguatkuasaannya pada Disember 2026," katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) menyusut 12 sen kepada 885.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun tiga sen kepada 724 sen sekilogram.
-- BERNAMA