AirBorneo Umum Pelarasan Sementara Kepada Frekuensi Penerbangan Terpilih

KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- AirBorneo Airways Sdn Bhd hari ini mengumumkan pelarasan sementara kepada kekerapan penerbangan ke atas sebilangan kecil laluan terpilih merentasi rangkaiannya, berkuat kuasa 6 Julai hingga 24 Okt, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kebolehpercayaan armada serta mengukuhkan prestasi jadual.

Syarikat penerbangan milik Sarawak itu melalui satu kenyataan berkata pelarasan dibuat berikutan selepas beberapa pendaratan teknikal yang menjejaskan sejumlah pesawat dalam armada ATR72 dan DHC-6 Twin Otter, AirBorneo.

Penggantungan ini berpunca daripada keperluan penyelenggaraan tidak berjadual dan daripada kekangan rantaian bekalan global yang berterusan sehingga menjejaskan ketersediaan komponen dan alat ganti pesawat yang kritikal, cabaran yang sedang dihadapi oleh operator pesawat di seluruh industri penerbangan.

Ad Banner

“AirBorneo terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kejuruteraannya dan Pengeluar Peralatan Asal yang berkaitan bagi mempercepatkan pembaikan dan menerbangkan semula pesawat yang terjejas. Daripada meneruskan perkhidmatan dengan notis pendek, pembatalan secara ad-hoc, syarikat penerbangan itu telah memilih untuk membuat semakan berstruktur selain telus pada jadual yang diterbitkannya.

“Ini memberi penumpang di laluan terjejas jadual yang disahkan untuk merancang, sambil membenarkan syarikat penerbangan itu memadankan pesawat yang ada dengan lebih baik bagi membebaskan masa kerangka pesawat untuk penyelenggaraan penting,” katanya.

Syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa pelarasan itu terhad kepada laluan terpilih sahaja, dengan sambungan ke semua destinasi sedia ada dikekalkan. Tiada destinasi akan digantung atau dialih keluar daripada rangkaian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kira-kira 594 penerbangan akan diselaraskan dalam tempoh itu, dengan penumpang yang terjejas akan ditempatkan semula pada penerbangan yang tersedia berikutnya, sama ada pada hari yang sama atau keesokan harinya. Sejumlah 1,337 penerbangan lagi akan memerlukan penjadualan semula dalam tempoh yang sama.

“Secara keseluruhan, dianggarkan 4,000 penumpang mungkin mengalami pelarasan jadual akibat daripada langkah tersebut. Semua penumpang yang terjejas akan diuruskan mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), termasuk tempahan semula, opsyen bayaran balik dan sokongan penumpang lain yang berkenaan.

“Langkah ini tidak melibatkan sebarang kenaikan tambang di laluan yang terjejas,” katanya.

Melihat ke hadapan, syarikat penerbangan itu berkata pelarasan rangkaian itu adalah langkah jangka pendek kerana ia sedang memacu program pembaharuan armadanya.

“AirBorneo merancang untuk memperkenalkan pesawat ATR72-600 dan ATR42-600 generasi baharu secara progresif menjelang suku ketiga 2027 hingga suku ketiga 2029, ini akan memberikan kebolehpercayaan yang lebih mantap, daya tahan operasi yang lebih besar dan pengalaman pelanggan yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA