BERITA TERKINI   Cadangan adakan PRU awal diteliti, fokus kerajaan kini pulihkan ekonomi, kesejahteraan rakyat - PM Anwar | Jerebu: Tindakan susulan termasuk isytihar darurat di kawasan rekod IPU 500 di Sarawak dibincang dengan kerajaan negeri, agensi - PM Anwar | Tragedi Tanjung Lompat: Mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15  pagi - polis | MAG Culinary Solutions perluas keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan dengan kemudahan baharu dijangka siap pada suku keempat 2028 - Kapten Nasaruddin | Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Busan mulai Disember 2026, Firefly perkenal penerbangan terus ke Kunming - Kapten Nasaruddin | 
Ad Banner

Kualiti Aset Bank Kekal Berdaya Tahan Disokong Penampan Kukuh, Pengurusan Risiko Proaktif

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kualiti aset bank Malaysia kekal berdaya tahan, disokong penampan penyerapan kerugian yang mapan serta pengurusan risiko kredit yang proaktif, meskipun berdepan ketidaktentuan yang meningkat susulan konflik Asia Barat dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan, kata RAM Ratings.

Dalam Kemas Kini Suku Tahunan Perbankan bagi suku kedua 2026, agensi penarafan kredit itu berkata nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem perbankan meningkat sedikit kepada 1.43 peratus pada akhir Jun 2026 daripada 1.37 peratus pada akhir Disember 2025.

“Bagaimanapun, asas kredit secara keseluruhannya kekal kukuh, disokong penampan penyerapan kerugian yang sihat serta pengurusan risiko kredit yang proaktif oleh bank,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner

RAM menjangkakan nisbah GIL kekal secara amnya stabil pada sekitar 1.4 peratus menjelang akhir 2026, walaupun terdapat jangkaan peningkatan tunggakan dalam segmen pinjaman tertentu.

Naib Presiden Kanan Penarafan Institusi Kewangan RAM Wong Yin Ching berkata kebanyakan bank tidak melaporkan peningkatan ketara dalam permohonan bantuan pembayaran balik.

Selain itu, katanya pasaran buruh yang menggalakkan, seperti yang dicerminkan oleh kadar pengangguran rendah sebanyak tiga peratus, akan membantu mengurangkan kemerosotan selanjutnya dalam kualiti aset.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Agensi itu berkata nisbah kos kredit purata tahunan bagi lapan bank tempatan terpilih kekal stabil pada 18 mata asas (bps) pada suku kedua 2026 berbanding 19 bps pada suku sebelum itu.

Kebanyakan bank terus mengekalkan lapisan pengurusan, dengan beberapa peruntukan yang semakin meningkat sepanjang suku tersebut di tengah-tengah ketidakpastian makroekonomi.

Bagi nisbah perlindungan GIL purata, termasuk rizab kawal selia, ia kekal stabil pada 139 peratus, jauh melebihi tahap sebelum pandemik iaitu 107 peratus pada akhir 2019.

Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan meningkat kepada 5.5 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2026 daripada 4.8 peratus pada 2025, didorong pertumbuhan pinjaman perniagaan sebanyak 6.1 peratus, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah sederhana kepada 5.0 peratus.

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman perumahan, segmen terbesar pinjaman isi rumah, terus menyederhana kepada 5.4 peratus pada separuh pertama 2026 daripada 5.9 peratus pada 2025 dan 6.9 peratus pada 2024.

"Margin faedah bersih susut tiga mata asas berbanding suku sebelumnya kepada 2.01 peratus susulan persaingan sengit bagi deposit dan pinjaman, dan dijangka terus berada di bawah tekanan sepanjang baki tahun ini.

"Bagaimanapun, pendapatan bukan faedah yang lebih kukuh serta peningkatan kecekapan kos mengimbangi penyusutan margin, sekali gus meningkatkan purata pulangan aset sebelum cukai lapan bank berkenaan kepada 1.39 peratus pada suku kedua 2026 daripada 1.33 peratus pada suku pertama 2026," katanya.

Nisbah ekuiti biasa tier-1 (CET1) sistem perbankan pula menurun kepada 13.9 peratus pada akhir Jun 2026 daripada 14.7 peratus setahun sebelumnya, terutama disebabkan pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh, penilaian sekuriti yang lebih rendah dan pengagihan dividen yang lebih tinggi.

Lapan bank yang dikaji RAM ialah AFFIN Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, AMMB Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, Public Bank Bhd dan RHB Bank Bhd.

-- BERNAMA