Usahawan Perlu Atasi Sikap Terlalu Rendah Diri Untuk Raih Modal Teroka Asing - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Usahawan Malaysia perlu mengatasi sikap terlalu merendah diri dan sebaliknya giat membina kemampuan berbicara serta penceritaan yang meyakinkan jika mahu mendapatkan modal teroka asing, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata walaupun pengasas tempatan mempunyai idea-idea yang bernas, aspek kekurangan utama yang dikenal pasti adalah kemampuan mereka untuk mengetengahkan kelebihan serta nilai produk secara meyakinkan kepada pelabur global.
“Mungkin ini sebahagian daripada ciri-ciri DNA semula jadi masyarakat Asia -- kita terlalu merendah diri; (apabila) melakukan satu-satu perkara, kita tidak suka memberitahu orang lain yang kita mampu melakukannya dan tidak gigih untuk menjadikannya lebih hebat,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu pada sesi bual santai bertajuk “Mobilising Capital for Malaysia’s Innovation Economy” (Menggerakkan Modal untuk Ekonomi Inovasi Malaysia) bersempena KL20 2026 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata apabila pelabur berpotensi mendekati pengasas, ramai yang sebaliknya cenderung memberi reaksi kurang yakin dan sekadar menjawab “okay lah” berbanding berkongsi rasa bangga atau kesungguhan mengenai kekuatan produk masing-masing.
“Usaha pengumpulan dana adalah antara tahap awal paling kritikal bagi mana-mana syarikat pemula dan memerlukan pengasas bertindak membentangkan aspirasi dan visi masing-masing secara meyakinkan serta mampu menarik modal jangka panjang,” katanya.
Menyentuh jurang ekosistem yang meluas, Amir Hamzah berkata pertumbuhan syarikat permulaan bukan sekadar melibatkan aspek modal perniagaan semata-mata yang tidak dapat menyelesaikan setiap cabaran struktur.
“Kita perlu mengetepikan persepsi bahawa wang mampu menyelesaikan segala-galanya; ya, modal itu penting tetapi apa yang kita perlu ketengahkan adalah keupayaan diri, kepimpinan serta peluang untuk menguji idea yang ada,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengetengahkan usaha kerajaan untuk membina satu model “relay race” yang berstruktur atau kerjasama secara berpasukan dan penyerahan tugas yang lancar bagi memastikan peralihan pembiayaan yang melibatkan tahap pertumbuhan berbeza -- daripada peringkat awal sehingga kepada penyenaraian awam.
“Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan turut bekerjasama dengan peneraju global seperti kerjasama Khazanah Nasional dengan Silicon Catalyst untuk memberi khidmat bimbingan dan teknikal selain aspek pendanaan,” katanya.
-- BERNAMA