BERITA TERKINI   Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) akan digubal dan dibentang kepada Kabinet tahun depan -- Kementerian Ekonomi | Kementerian Ekonomi bentang Rangka Kerja Ekonomi Kitaran, teraju peralihan nasional daripada model ekonomi linear "guna-buang" | MTEN teliti 3 keutamaan dasar strategik pacu pertumbuhan mampan, perkukuh daya tahan ekonomi negara -- Kementerian Ekonomi | Sukan Para Asia 2026: Pelumba berbasikal trek para Zuhairie Ahmad Tarmizi rangkul emas sulung negara dalam acara ujian masa 1000m C4-5 lelaki | 

Inflasi Malaysia 2026 Diunjur Kekal Terkawal Pada 1.9 Peratus — OCBC, RHB IB

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kadar inflasi keseluruhan Malaysia diunjurkan kekal terkawal pada 1.9 peratus pada 2026, menurut firma penyelidikan.

OCBC Group Research menyemak semula unjuran inflasi keseluruhannya kepada 1.9 peratus daripada dua peratus sebelum ini manakala RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjurannya pada 1.9 peratus berbanding inflasi sejak awal tahun hingga kini pada 1.8 peratus.

Dalam nota penyelidikan hari ini, OCBC dan RHB IB menyatakan kadar inflasi keseluruhan menyederhana kepada 1.8 peratus tahun ke tahun pada September daripada 1.9 peratus pada Ogos.

Ad Banner

Menurut OCBC inflasi makanan dan utiliti masing-masing mereda kepada 1.8 peratus dan 1.4 peratus daripada 1.9 peratus dan 2.1 peratus, sekali gus mengimbangi kesan inflasi pengangkutan yang lebih tinggi iaitu 2.5 peratus berbanding dua peratus pada Ogos.

“Dengan purata indeks harga pengguna (IHP) keseluruhan mencatatkan 1.8 peratus tahun ke tahun bagi tiga suku pertama, kami menurunkan unjuran purata IHP keseluruhan 2026 kepada 1.9 peratus daripada dua peratus sebelum ini yang membayangkan bacaan tinggi sedikit bagi bulan-bulan akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, RHB IB memberitahu kesinambungan kawalan harga dan langkah subsidi dijangka membantu membendung kesan limpahan kenaikan kos komoditi kepada harga pengguna.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Penambahan kuota bulanan petrol bersubsidi BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter berkuat kuasa 1 Sept, 2026 serta pelanjutannya ke 2027 dijangka memberikan kelegaan tambahan kepada pengguna kenderaan yang layak, khususnya mereka yang menggunakan lebih banyak bahan api,” jelasnya.

Mengenai prospek, RHB IB memaklumkan inflasi bagi baki 2026 dan sepanjang 2027 akan dipengaruhi oleh pergerakan harga komoditi global, pelarasan dasar domestik serta potensi risiko kenaikan harga makanan.

“Ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dan gangguan berpanjangan terhadap perkapalan melalui Selat Hormuz telah meningkatkan risiko kenaikan harga minyak mentah Brent selanjutnya manakala data terkini menunjukkan tekanan kos di peringkat huluan semakin meningkat secara beransur-ansur.

“Meskipun perkembangan ini boleh menambah tekanan kos, kami menjangkakan pelepasan kos kepada harga pengguna kekal beransur-ansur, disokong oleh kawalan harga, subsidi dan nilai ringgit yang relatif stabil,” tambahnya.

RHB IB terus memantau potensi tekanan inflasi makanan memandangkan gangguan cuaca berkaitan El Niño dan keadaan kering berpanjangan boleh mengurangkan hasil tanaman khususnya komoditi pertanian utama ASEAN seperti beras dan minyak sawit.

Menurutnya, langkah mitigasi telah dilaksanakan menerusi pengurusan air yang lebih baik, penambahbaikan sistem pengairan dan inisiatif keselamatan makanan selain memperkukuh kesiapsiagaan dalam sektor padi, ternakan dan tanaman makanan.

 

Kadar Dasar Semalaman (OPR)

 

Mengenai dasar monetari, OCBC dan RHB IB mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang akan datang iaitu pada November.

RHB IB menjelaskan prospek ekonomi yang kukuh dan kadar inflasi yang terkawal wajar menyokong pendirian dasar yang secara amnya stabil dalam tempoh terdekat tanpa keperluan mendesak bagi pelarasan kadar selanjutnya.

“Bagaimanapun, kami mengunjurkan bank pusat akan menaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) pada separuh pertama 2027 yang kami lihat sebagai langkah normalisasi ke arah penetapan dasar yang lebih neutral dan bukannya tindak balas terhadap tekanan inflasi yang ketara.

“Langkah itu akan disokong oleh dinamik pertumbuhan yang mampan dan akan memberi ruang dasar yang lebih luas kepada bank pusat untuk bertindak balas terhadap kejutan pada masa hadapan selain mengekalkan pendekatan berhati-hati terhadap normalisasi monetari,” jelasnya.

Sementara itu, OCBC memberitahu pilihan antara menormalkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas pada 5 November atau pada mesyuarat di awal Januari kini semakin sukar ditentukan.

Jelasnya, prospek pertumbuhan yang kukuh membolehkan normalisasi monetari dilaksanakan dengan segera manakala tekanan harga yang terkawal memberikan ruang yang lebih panjang kepada BNM.

“Dalam pada itu, pemerhatian Gabenor BNM bahawa keputusan akan bergantung kepada data dan BNM mempunyai ruang untuk bertindak turut menunjukkan bahawa normalisasi kepada tiga peratus berada di landasan yang betul.

“Secara keseluruhannya, kami cenderung kepada kenaikan 25 mata asas pada Januari, namun ia kekal sukar untuk diputuskan,” jelasnya.

 

Unjuran Pertumbuhan KDNK

 

Mengenai pertumbuhan ekonomi, OCBC memaklumkan prestasi perdagangan September yang kukuh menunjukkan terdapat risiko pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga, berdasarkan unjuran awal sebanyak 5.3 peratus, mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi daripada jangkaan.

Menurutnya, eksport barangan meningkat 54.5 peratus tahun ke tahun pada September berbanding 45.4 peratus pada Ogos, dengan eksport elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama.

OCBC mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun penuh pada 5.2 peratus selain menyatakan  ekonomi berkembang sebanyak 5.5 peratus dalam tiga suku pertama 2026.

-- BERNAMA