BERITA TERKINI   Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) akan digubal dan dibentang kepada Kabinet tahun depan -- Kementerian Ekonomi | Kementerian Ekonomi bentang Rangka Kerja Ekonomi Kitaran, teraju peralihan nasional daripada model ekonomi linear "guna-buang" | MTEN teliti 3 keutamaan dasar strategik pacu pertumbuhan mampan, perkukuh daya tahan ekonomi negara -- Kementerian Ekonomi | Sukan Para Asia 2026: Pelumba berbasikal trek para Zuhairie Ahmad Tarmizi rangkul emas sulung negara dalam acara ujian masa 1000m C4-5 lelaki | 

MBSB IB Naikkan Unjuran Pertumbuhan Eksport 2026 Kepada 32 Peratus, Import 26 Peratus

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menaikkan unjuran pertumbuhan eksport bagi 2026 kepada 32 peratus (2025: 6.6 peratus) dan import kepada 26 peratus (2025: 6.0 peratus), susulan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan pada September.

Bank pelaburan itu memaklumkan permintaan yang berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berkaitan teknologi dijangka terus menyokong pertumbuhan, di samping peningkatan import input bagi aktiviti pembuatan dan pelaburan.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan perdagangan akan tumbuh sederhana menjelang akhir tahun, manakala gangguan bekalan, kos input yang tinggi, permintaan akhir yang lebih lemah dan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan pertumbuhan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Ad Banner

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan Malaysia melonjak 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.5 bilion pada September 2026 berbanding RM258.1 bilion pada tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport dan import.

Eksport meningkat 54.5 peratus tahun ke tahun kepada RM215.1 bilion, terutamanya disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), manakala import meningkat 52.7 peratus kepada RM181.4 bilion.

Selain itu, MBSB IB memaklumkan permintaan kukuh terhadap input pengeluaran kekal konsisten dengan aktiviti pembuatan yang berterusan, manakala import barangan modal terus menyokong permintaan yang berkaitan pelaburan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami menjangkakan import barangan penggunaan akan terus meningkat, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan,” tambahnya.

Sementara itu, ia memaklumkan kesan harga juga terus menyokong pertumbuhan, apabila pertumbuhan nominal eksport dan import terus mengatasi pertumbuhan volum masing-masing sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Harga import pula meningkat pada purata 4.9 peratus tahun ke tahun antara April dan Ogos 2026.

Kadar inflasi untuk harga eksport adalah relatifnya lebih tinggi, meningkat pada purata 7.8 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

“Ini berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat menyebabkan harga minyak mentah kekal tinggi, mengakibatkan inflasi yang lebih tinggi untuk harga eksport dan import.

"Bagaimanapun, kami menjangkakan volum akan kekal sebagai pemacu penting untuk tinjauan perdagangan, walaupun ketidaktentuan harga komoditi dan gangguan terhadap perdagangan serta rantaian bekalan global masih boleh mempengaruhi nilai perdagangan nominal," tambahnya lagi.

Menurut DOSM, lebihan dagangan meningkat 64.9 peratus kepada RM33.7 bilion, menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-77 berturut-turut sejak Mei 2020.

MBSB IB memaklumkan Malaysia akan terus mencatatkan lebihan dagangan keseluruhan, berikutan lebihan dagangan yang besar untuk produk E&E dan komoditi utama seperti minyak sawit dan gas asli cecair, serta pada tahap tertentu, produk getah.

“Bagaimanapun, jumlah lebihan dagangan mungkin terhad berikutan import barangan perantaraan dan barangan modal yang besar, dengan defisit berterusan untuk produk seperti jentera, alat ganti dan kelengkapan; bahan kimia dan produk kimia; serta kelengkapan pengangkutan,” tambahnya.

-- BERNAMA