TNB, PTP Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkasa Aspirasi Sifar Bersih Malaysia
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), iaitu ahli Kumpulan MMC untuk menyokong agenda penyahkarbonan Malaysia dan meningkatkan pematuhan kemampanan menerusi penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET).
Menurut TNB dan PTP dalam satu kenyataan bersama hari ini, kerjasama itu menyatukan akses TNB kepada tenaga boleh baharu yang diperakui dengan komitmen PTP bagi penyahkarbonan operasinya, sekali gus menunjukkan bagaimana infrastruktur nasional sedia ada boleh menyokong perniagaan dalam memperkasa matlamat kemampanan dan mengurangkan pelepasan.
“Menerusi kerjasama ini, PTP akan melanggan 16,000 blok GET, iaitu bersamaan dengan 16 GWj tenaga hijau yang diperakui setiap bulan, bagi tempoh dari Mei 2026 hingga Disember 2027.
“Langganan tersebut setakat ini menjadikan PTP sebagai pelanggan terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia dan membolehkan pelabuhan itu beralih kepada penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu bagi bekalan elektriknya,” menurut kenyataan itu.
Program GET membolehkan pelanggan TNB membekalkan premis mereka dengan tenaga boleh baharu yang diperakui.
Pelanggan membayar membayar tarif asas biasa bersama premium hijau berperingkat dan menerima Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC) setiap tahun.
Penanda Aras Baharu Bagi Operasi Maritim Mampan
Sementara itu, menerusi program GET, PTP akan menerima pensijilan yang sepadan dengan langganan tenaga hijaunya.
Ini akan menyokong strategi kemampanan syarikat itu, yang menyasarkan pengurangan sebanyak 45 peratus dalam pelepasan karbon menjelang 2030, dan mencapai sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan sasaran negara.
Penyertaan PTP dalam program GET juga dijangka memperkukuh kedudukannya sebagai hab pemindahan muatan global yang mampan, selain menetapkan penanda aras baharu bagi penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor maritim dan logistik Malaysia.
Kerjasama itu turut menjadi model panduan kepada pengendali infrastruktur lain yang menggunakan tenaga secara intensif, dengan menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memanfaatkan tenaga boleh baharu yang diperakui menerusi grid sedia ada untuk memacu perjalanan kemampanan mereka.
Penyerahan simbolik sijil langganan GET tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengawai Runcit TNB Datuk Kamal Arifin A. Rahman kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTP Mark Hardiman, sambil disaksikan oleh Presiden/CEO TNB Datuk Seri Shamsul Ahmad.
Dalam pada itu, Shamsul berkata TNB kekal komited untuk membolehkan lebih banyak perniagaan menyertai peralihan Malaysia ke arah penggunaan sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan, dengan menyediakan akses kepada penyelesaian tenaga boleh baharu yang menyokong matlamat alam sekitar serta daya saing perniagaan untuk tempoh jangka panjang.
“Kerjasama ini menjadi pemangkin yang penting kepada seluruh sektor maritim dan logistik ke arah peralihan tenaga, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia memacu pencapaian pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Komitmen ini menunjukkan bagaimana perniagaan Malaysia boleh memainkan peranan dengan lebih bermakna dalam memacu peralihan tenaga negara, sambil memperkukuh daya saing sektor ekonomi utama,” katanya.
Sementara itu, Mark Hardiman berkata langganan itu bukan sekadar perjanjian kontrak, tetapi turut mencerminkan tekad PTP untuk menerajui sektor maritim ke arah masa depan yang lebih mampan.
“Dengan mengintegrasikan GET dalam operasi kami, PTP mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu dan mengambil langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya merupakan pemacu utama pertumbuhan serta daya tahan jangka panjang PTP dalam persekitaran global yang sentiasa berubah.
“Penyertaan dalam program GET membolehkan PTP menyokong secara langsung pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia, sekali gus memastikan operasi terminal berskala besar kami menggunakan sumber tenaga yang lebih hijau dan bersih,” katanya.
Memajukan Pertumbuhan Hijau Malaysia
Dalam pada itu, kerjasama tersebut turut menyumbang kepada usaha meluas Malaysia untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan karbon merentasi sektor ekonomi, khususnya dalam sektor yang menggunakan tenaga secara intensif serta berperanan penting dalam perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Oleh itu, sebagai hab ekonomi utama di Johor, penyertaan PTP dalam program GET turut menyokong aspirasi ekonomi hijau negeri itu dan memperkukuh peranannya sebagai pengendali infrastruktur utama dalam memacu pertumbuhan mampan, sambil mengukuhkan kedudukan TNB sebagai rakan strategik dalam usaha penyahkarbonan infrastruktur kritikal Malaysia.
-- BERNAMA