Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Susulan Kebimbangan Peningkatan Stok
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap peningkatan stok minyak sawit.
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh harga minyak mentah yang lebih rendah.
Bagaimanapun katanya, kerugian selanjutnya dihadkan oleh dagangan minyak sayuran yang lebih kukuh di Bursa Komoditi Dalian serta jangkaan permintaan minyak sawit yang lebih tinggi di India menjelang sambutan Deepavali.
“Permintaan eksport yang bertambah baik boleh membantu mengehadkan penurunan selanjutnya, walaupun stok domestik yang tinggi mungkin terus mengehadkan pemulihan ketara.
“Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,600 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,850 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Ketika ditutup, kontrak November 2026 susut RM21 kepada RM4,515 satu tan, kontrak Disember 2026 turun RM10 kepada RM4,666 satu tan, manakala kontrak Januari 2027 merosot RM3 kepada RM4,766 satu tan.
Sebaliknya, kontrak Februari 2027 meningkat RM5 kepada RM4,857 satu tan, kontrak Mac 2027 naik RM10 kepada RM4,936 satu tan, manakala kontrak April 2027 menokok RM9 kepada RM4,993 satu tan.
Jumlah dagangan merosot kepada 106,846 lot daripada 133,428 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 332,357 kontrak daripada 339,364 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi penghantaran November Selatan meningkat RM30 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA