MOF: Tiada Komitmen Sokongan Pembiayaan Kepada AirAsia Setakat Ini

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) setakat ini tidak membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia Bhd, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam.

Kementerian itu memaklumkan sebarang permohonan sokongan kerajaan, daripada mana-mana syarikat dalam apa jua sektor, dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal serta perlindungan dana awam, selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

Kerajaan tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau angka yang dilaporkan oleh media, agar tidak menjejaskan pasaran serta kepentingan pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan lain bagi syarikat berkenaan.

Ad Banner

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti, dengan mengutamakan kepentingan rakyat,” maklum Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

MoF memaklumkan sedemikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan mengenai pertimbangan kerajaan untuk memberi sebarang jaminan, pinjaman atau dana awam kepada AirAsia.

Menurut kementerian itu kerajaan mengambil maklum isu yang dibangkitkan berhubung AirAsia, termasuk kerugian yang dilaporkan dalam keputusan kewangan suku tahunan terkininya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

AirAsia memaklumkan bahawa kerugian tersebut berpunca terutamanya daripada kenaikan mendadak harga bahan api jet berikutan perkembangan konflik di Asia Barat.

“Sebagai sebahagian daripada pemantauan ini, kerajaan mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain dalam ekosistem penerbangan serta mendapatkan pandangan daripada industri, pakar teknikal dan pihaklain, sebagaimana yang turut dilaksanakan bagi sektor ekonomi lain yang terkesan akibat krisis Asia Barat,” maklum MoF.

Pada 19 Sept lepas, Bernama melaporkan AirAsia Group Bhd tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan kerajaan mengenai “bailout” atau bantuan penyelamatan kewangan dan yakin terhadap kedudukan mudah tunai serta kemampanan perniagaannya.

-- BERNAMA