Pusat Data Diunjur Guna Maksimum Elektrik Sehingga 8,391 MW Menjelang 2030 - PETRA

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Jumlah permintaan maksimum elektrik bagi industri pusat data di Semenanjung dijangka mencapai 8,391 Megawatt (MW) menjelang 2030, iaitu berdasarkan unjuran perancangan bekalan elektrik semasa.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), daripada jumlah itu, Johor dijangka merekodkan permintaan maksimum elektrik sebanyak 4,428MW, manakala Selangor sebanyak 1,481MW.

“Kedua-dua negeri ini merupakan lokasi tumpuan utama pembangunan pusat data dan pastinya memerlukan perancangan infrastruktur bekalan elektrik yang bersesuaian dengan pertumbuhan beban yang dijangkakan,” jelas kementerian itu.

Ad Banner

Kementerian itu menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin mengetahui mengenai unjuran penggunaan elektrik dan air oleh industri pusat data sehingga 2030 khususnya di Johor dan Selangor serta berapa jumlah pusat data yang telah siap dibina.

Mengenai status pembangunan, PETRA memaklumkan sehingga Ogos 2026, sebanyak 45 pusat data telah siap dibina di Semenanjung Malaysia yang melibatkan kapasiti bekalan elektrik sebanyak 6,041 MW.

Kapasiti tersebut merujuk kepada kapasiti bekalan elektrik yang disediakan oleh Tenaga Nasional Bhd melalui grid nasional bagi menyokong pengoperasian pusat data tersebut.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, unjuran permintaan air untuk kegunaan pusat data sehingga 2030 di Selangor dan Johor, jumlahnya adalah sebanyak 389.04 Juta Liter Sehari (JLH).

“Bagaimanapun, pada masa ini jumlah penggunaan air sebenar oleh pusat data yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara adalah sebanyak 63.90 JLH,” menurut PETRA.

Dalam pada itu, daripada 45 pusat data yang telah siap dibina dan beroperasi ia melibatkan 27 pusat data di Selangor dan 18 di Johor iaitu setakat Jun 2026.

-- BERNAMA