Niaga Hadapan MSM Kembali Meningkat Susulan Kenaikan Harga Minyak Soya CBOT

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives kembali meningkat untuk ditutup lebih tinggi pada Khamis, dipacu oleh pengukuhan harga minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kenaikan harga minyak soya menyokong MSM memandangkan kedua-duanya merupakan minyak sayuran utama yang bersaing dalam pasaran minyak masak global.

Ad Banner

Sentimen pasaran turut dirangsang oleh jangkaan permintaan bermusim yang lebih kukuh daripada negara-negara pengimport utama, katanya.

“Harga MSM dirangsang oleh jangkaan permintaan bermusim yang kukuh dari China dan India dalam beberapa minggu akan datang, mengatasi kebimbangan mengenai bekalan minyak sawit yang mencukupi.

“Kami mendapati harga MSM disokong pada paras RM4,550 setiap tan dengan paras rintangan pada RM4,680 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2026 meningkat RM7 kepada RM4,537 setiap tan manakala kontrak September, Oktober dan November 2026 masing-masing naik RM5 kepada RM4,574, RM4,606 dan RM4,637 setiap tan.

Kontrak Disember 2026 dan Januari 2027 masing-masing meningkat RM3 kepada RM4,668 dan RM4,701 setiap tan.

Jumlah dagangan susut sedikit kepada 86,078 lot daripada 88,773 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 284,166 kontrak daripada 285,543 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan bertambah sebanyak RM10 kepada RM4,540 setiap tan.

-- BERNAMA