Pelaksanaan BDR Jimat 4.05 Juta Liter Petrol, Kurangkan RM7.31 Juta Subsidi - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Susulan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) membabitkan Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, sebanyak 4.05 juta liter petrol telah dijimatkan sekali gus menghasilkan penjimatan perbelanjaan subsidi berjumlah RM7.31 juta setakat 14 Julai 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata seramai 74,408 penjawat awam secara kumulatif telah memanfaatkan inisiatif BDR yang diperkenalkan mulai 15 April lepas, sebagai respons terhadap krisis bekalan tenaga global untuk mengurangkan penggunaan bahan api negara.

MoF berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner

Ia bagi menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan implikasi kewangan, khususnya jumlah penjimatan yang berjaya dicapai kerajaan hasil pelaksanaan BDR untuk sektor awam serta rasionalisasi subsidi.

Dalam konteks ini, MoF berkata kerajaan menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

Pada masa sama, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan bekalan bahan api kekal terjamin untuk membolehkan aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, sektor logistik serta industri kritikal terus beroperasi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA