88 Peratus Firma Jerman Yakin Iklim Perniagaan Malaysia Kekal Kondusif
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak 88 peratus syarikat Jerman menilai keadaan perniagaan semasa mereka di Malaysia sebagai "baik" atau "memuaskan", mencerminkan keyakinan berterusan terhadap negara ini walaupun berdepan peningkatan tekanan geopolitik global.
Dapatan itu berdasarkan Tinjauan Prospek Perniagaan Dunia Musim Bunga 2026 (World Business Outlook Spring 2026 Survey) yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman (MGCC).
Tinjauan berkenaan mendapati 87 peratus responden menjangkakan keadaan perniagaan mereka kekal sama atau bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan 35 peratus menjangka peningkatan manakala 52 peratus lagi mengunjurkan ia kekal pada tahap semasa.
"Dari segi rancangan pengambilan pekerja, 34 peratus syarikat bercadang meningkatkan jumlah tenaga kerja dalam tempoh setahun akan datang, manakala 46 peratus lagi berhasrat mengekalkan jumlah pekerja sedia ada," menurut kenyataan MGCC hari ini.
Pengarah Eksekutif MGCC Hannes Farlock berkata syarikat Jerman memberikan gambaran jelas bahawa Malaysia kekal sebagai pangkalan yang stabil dan dipercayai walaupun landskap global semakin mencabar.
"Keputusan tinjauan terbaharu kami menunjukkan daya tahan negara ini dalam menghadapi ketidaktentuan global, selain kedudukannya yang terus kukuh sebagai pangkalan strategik bagi perniagaan Jerman di Asia Tenggara," katanya.
Tinjauan itu turut menunjukkan 71 peratus responden melihat prospek ekonomi Malaysia bagi tempoh 12 bulan akan datang sebagai stabil atau menggalakkan.
Dari aspek pelaburan, kira-kira 41 peratus responden berhasrat mengekalkan rancangan pelaburan semasa di Malaysia, manakala 21 peratus merancang meningkatkan pelaburan tempatan dalam tempoh sama.
MGCC memaklumkan 24 peratus syarikat merancang mengurangkan pelaburan, manakala 13 peratus lagi tidak bercadang membuat sebarang pelaburan.
"Walaupun prospek ekonomi lebih berhati-hati, pelabur Jerman menunjukkan kecenderungan yang rendah untuk meninggalkan Malaysia.
"Hanya 18 peratus syarikat sedang memindahkan pengeluaran secara aktif ke lokasi lain, manakala 67 peratus tidak mempunyai sebarang rancangan sedemikian," menurutnya.
Sebaliknya, MGCC memaklumkan syarikat terbabit memilih untuk menyesuaikan strategi dengan memperkukuh operasi di Malaysia, dengan 54 peratus meneroka pasaran jualan baharu dan 40 peratus memperluas rangkaian pembekal.
"Ini mencerminkan strategi kepelbagaian berbanding pemindahan operasi, sekali gus menyerlahkan daya tarikan berterusan Malaysia sebagai hab serantau," menurutnya.
Di Malaysia, tinjauan itu dijalankan dari 16 Mac hingga 10 April 2026 melibatkan 99 responden daripada syarikat anggota MGCC, yang majoritinya terdiri daripada syarikat Jerman dengan cawangan atau anak syarikat di Malaysia.
Responden terdiri daripada sektor perkhidmatan (47 peratus), pembuatan dan pembinaan (36 peratus), serta perdagangan (16 peratus).
Tinjauan itu merupakan sebahagian daripada AHK World Business Outlook, iaitu inisiatif penyelidikan global dua kali setahun yang dijalankan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jerman (DIHK).
Ia melibatkan syarikat anggota rangkaian Dewan Perniagaan Jerman di Luar Negara (AHK) yang mewakili lebih 40,000 syarikat di 93 negara.
-- BERNAMA