Pusat Pertumbuhan Serantau Malaysia Pacu Fasa Baharu Pembangunan Ekonomi Bernilai Tinggi - RHB IB
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pusat pertumbuhan serantau di Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memacu fasa seterusnya pembangunan ekonomi bernilai tinggi, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
RHB IB dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan, aktiviti ekonomi bernilai tinggi negara kini tertumpu kepada lima pusat pertumbuhan ekonomi serantau.
Pusat itu ialah Selangor sebagai hab pembuatan maju dan inovasi, Pulau Pinang (hab semikonduktor dan elektronik), Johor (hab pelaburan dan logistik serantau), Sarawak (hab peralihan tenaga dan industri hijau) serta Kuala Lumpur (hab perkhidmatan berintensifkan pengetahuan negara).
"Pelaburan berterusan dalam infrastruktur, inovasi, modal insan dan peningkatan industri amat penting bagi mengekalkan daya saing Malaysia serta mengukuhkan integrasinya dalam rantaian nilai serantau dan global," menurutnya.
Menurut RHB IB, lima negeri itu menyumbang hampir 70 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kira-kira 71 peratus daripada output sektor pembuatan dan perkhidmatan, hampir 94 peratus daripada eksport barangan, serta lebih 70 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.
RHB IB memaklumkan, usaha untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi di pusat pertumbuhan serantau itu memerlukan pelaburan berterusan dalam faktor pemangkin yang menyokong aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
"Selain pembangunan infrastruktur fizikal, penekanan yang lebih tinggi perlu diberikan kepada pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, infrastruktur digital serta kerjasama yang lebih kukuh antara industri dan institusi akademik.
"Pelaksanaan berterusan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta inisiatif serantau lain akan menjadi faktor penting untuk memperkukuh kemampuan perindustrian Malaysia dan menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih dipacu oleh inovasi," menurutnya.
-- BERNAMA