Pelabuhan Di Malaysia Akan Raih Manfaat Daripada Peralihan Rantaian Bekalan - AmBank
KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pengendali pelabuhan di Malaysia bakal meraih manfaat daripada pertukaran laluan perdagangan dan peningkatan aktiviti pemindahan kapal walaupun kos logistik melonjak, kata Ketua Ahli Ekonomi AmBank (M) Bhd, Firdaos Rosli.
Beliau berkata sektor pelabuhan di Malaysia telah mendapat manfaat daripada perubahan laluan perdagangan berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat, sekali gus memperkukuh peranan negara sebagai hab pemindahan kapal yang selamat dan cekap di sepanjang Selat Melaka.
“Kepelbagaian rantaian bekalan dan pertumbuhan pemunggahan kargo dijangka menyokong aktiviti pelabuhan, walaupun usaha mengekalkan daya saing memerlukan pelaburan berterusan dalam pembesaran kapasiti dan projek infrastruktur strategik,” kata Firdaos semasa taklimat media bertajuk ‘Tinjauan Separuh Kedua Tahun Kewangan 2026: Pertumbuhan Berdaya Tahan, Ketegangan Meningkat’, di sini hari ini.
Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) masing-masing mencatatkan pengendalian kontena sebanyak 15.14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dan 14.03 juta TEU pada 2025.
Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, jumlah kontena di Pelabuhan Klang dan PTP masing-masing meningkat sebanyak lima peratus dan lapan peratus tahun ke tahun.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab pengisian bahan api serantau dengan menerima pakai bahan api marin alternatif seperti gas asli cecair (LNG) dan metanol.
“Pelan Hala Tuju Kawal Selia Pengisian Bahan Api Hijau kerajaan menyasarkan bahan api rendah karbon merangkumi 40 peratus daripada penggunaan bahan api maritim menjelang 2050, manakala PTP telah pun melaksanakan operasi pengisian bahan api LNG dan metanol,” kata Firdaos.
Sementara itu, Baltic Exchange Index (BDI) melonjak melebihi 120 peratus tahun ke tahun sebanyak dua kali pada Februari dan Mei, dan kekal tinggi pada paras 64.6 peratus dalam bulan Jun.
“Kadar tambang biasanya menurun dengan pantas selepas gangguan sementara berlaku. Bagaimanapun, kos penghantaran perkapalan telah meningkat dengan mendadak dan kekal stabil, sekali gus menunjukkan isu berkaitan rantaian bekalan yang masih berterusan.
“Ini bermakna walaupun konflik di Asia Barat mungkin tidak lagi memberi kesan secara langsung kepada pasaran minyak global, ia terus menjejaskan pasaran pengangkutan, terutamanya laluan maritim, katanya.
-- BERNAMA