Syamsul Farizz Terajui ECERDC, Pacu Agenda ECER 2030

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Ekonomi hari ini mengumumkan pelantikan Syamsul Farizz Nadzeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Beliau akan menggantikan Datuk Baidzawi Che Mat, yang mula menerajui ECERDC pada Mac 2019.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelantikan Syamsul Farizz adalah bertepatan dengan permulaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2026–2030 yang akan memandu pembangunan wilayah secara lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

Ad Banner

“Kepimpinan baharu ECERDC akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pemangkin, pemudahcaraan pelaburan berkualiti serta pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta.

“Pelantikan ini dibuat pada fasa penting pelaksanaan agenda pembangunan ECER, iaitu keutamaan kita ialah memastikan pelaburan dan projek yang dirancang diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat dan perusahaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengalaman Syamsul Farizz dalam pelaburan, infrastruktur dan pengurusan projek berskala besar diyakini dapat memperkukuh keupayaan ECERDC untuk melaksanakan mandat berkenaan dengan berkesan dan berorientasikan hasil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sebagai CEO, katanya Syamsul Farizz akan menerajui usaha memudah cara pelaburan, pelaksanaan projek pembangunan pemangkin dan program sosioekonomi di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Akmal Nasrullah berkata di bawah kepimpinan baharu itu, ECERDC akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan wilayah dengan mempercepat pelaburan strategik, melaksanakan projek berimpak tinggi serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Syamsul Farizz mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor hartanah, infrastruktur dan pelaburan termasuk dalam bidang tadbir urus korporat, strategi komersial, pengurusan pelaburan dan pelaksanaan projek kompleks.

Sebelum menyertai ECERDC, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Pelaburan Hartanah Bhd dan PROLINTAS, selain berkhidmat di Prasarana Malaysia Bhd, Bombardier Transportation dan Scomi Group Bhd.

Syamsul Farizz yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Lancaster University, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia juga mempunyai pengalaman penugasan antarabangsa di Arab Saudi dan India.

Beliau merupakan seorang Project Management Professional dan ahli Royal Institution of Chartered Surveyors.

-- BERNAMA