AirBorneo Dirancang Jadikan Sarawak Hab Pelaburan Serantau -- Abang Johari
SEPANG, 20 Julai (Bernama) -- Air Borneo dirancang sebagai pemangkin jangka panjang untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pelaburan dan logistik serantau selain menyokong usaha memperkukuh ekonomi Malaysia, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata hasrat kerajaan negeri adalah menempatkan negeri itu sebagai destinasi utama pelaburan berasaskan kekuatan yang dimilikinya, khususnya dalam tenaga boleh baharu (TBB).
“Kekuatan kita dari sudut TBB yang memudahkan pelaburan antarabangsa untuk melabur di Sarawak,” katanya ketika ditanya mengenai pelan jangka panjang Air Borneo di sini hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak turut menerima banyak pelaburan dari Asia Timur termasuk Jepun dan Korea.
Selain itu, katanya Forum Ekonomi Dunia turut mengiktiraf Bintulu sebagai kluster industri baharu yang sedang berkembang iaitu kluster industri rendah karbon.
“Jadi ini bermakna dengan adanya pelaburan yang kami terima di Sarawak, maka mesti ada logistik yang harus kita sediakan untuk para pelabur di Sarawak,” katanya.
Menyentuh mengenai model pembangunan Air Borneo, Abang Johari berkata kerajaan negeri melihat pengalaman Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam membangunkan syarikat penerbangan Emirates yang boleh dijadikan rujukan.
Beliau berkata Dubai pada pertengahan 1970-an hanya berperanan sebagai pusat transit dengan lapangan terbang yang tidak besar sebelum kerajaan di negara itu mengubah pendekatan dengan menjadikan Singapura sebagai model serta menubuhkan Emirates.
"Emirates menawarkan kadar tambang yang sangat kompetitif. Saya berpendapat terdapat subsidi silang bagi sektor yang lain iaitu di antara Emirates dengan agensi kerajaan sekali gus membolehkan Dubai berkembang menerusi Emirates.
“Jadi kalau kita di Sarawak, mudah-mudahan ada kekuatan dari sudut pendapatan kita, mungkin kita boleh melaksanakan pendekatan yang sama," katanya.
Beliau berkata dengan sumber yang dimiliki Sarawak, kerajaan negeri berharap dapat menjadikan negeri itu sebagai pemacu ekonomi Malaysia.
Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut berhasrat menjadikan negeri itu ‘Bavaria of Malaysia’.
“Kalau Bavaria merupakan satu kawasan penting di Jerman, kita juga mahu Sarawak menjadi seperti Bavaria iaitu mempunyai ekonomi tersendiri dan seterusnya memperkukuh ekonomi negara melalui kekuatan yang ada pada Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyambut ketibaan penerbangan sulung AirBorneo Airways dari Kuching ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini.
Penerbangan MY5005 itu membawa Premier Sarawak bersama barisan menteri negeri Sarawak serta tetamu kenamaan.
Turut hadir di KLIA ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
-- BERNAMA