Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Data Ekonomi Kukuh
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang kukuh, yang meningkatkan keyakinan terhadap asas ekonomi negara.
Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.0895/0950 berbanding dolar AS daripada 4.0930/0990 semasa ditutup pada Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi Malaysia terus menunjukkan asas ekonomi Malaysia yang kekal mantap, dengan jumlah eksport pada Jun melonjak 45.4 peratus tahun ke tahun, sekali gus mencatatkan pertumbuhan dua angka untuk bulan ketiga berturut-turut.
“Dengan mengambil kira prestasi eksport yang kukuh, lebihan dagangan meningkat pada suku kedua 2026 kepada RM84 bilion berbanding RM63.2 bilion pada suku sebelumnya.
“Langkah ini bermakna lebihan akaun semasa dijangka lebih tinggi dalam tempoh April hingga Jun, sekali gus memberikan sokongan asas kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Jun 2026, dengan jumlah perdagangan meningkat 44.7 peratus kepada RM340.9 bilion berbanding RM235.6 bilion tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import.
Eksport Malaysia meningkat 45.4 peratus kepada RM177.9 bilion manakala import berkembang 43.9 peratus kepada RM163.0 bilion, sekali gus melonjakkan lebihan dagangan sebanyak 64.9 peratus kepada RM14.9 bilion dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata pasaran pertukaran asing kini berdepan kebimbangan berikutan kerapuhan perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang menyebabkan harga minyak mentah Brent meningkat kepada US$88.23 setong.
“Ini bermakna kadar inflasi yang rendah pada Jun mungkin bersifat sementara, yang boleh menyebabkan tekanan inflasi meningkat semula pada separuh kedua 2026. Keadaan ini boleh menjejaskan harapan untuk Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah tahun ini,” katanya.
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada penutup dagangan hari ini.
Unit tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6743/6806 daripada 4.6824/6893 semasa ditutup Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5177/5212 daripada 2.5208/5246 sebelum ini. Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.5049/5123 daripada 5.5018/5099.
Mata wang tempatan juga meningkat berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1677/1722 daripada 3.1709/1758 dan kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.8/228.2 daripada 228.4/228.8 semasa ditutup Jumaat lepas.
Unit tempatan turut menokok berbanding baht Thailand kepada 12.1556/1759 daripada 12.1743/1965 serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.63/6.64 daripada 6.64/6.66 Jumaat lepas.
-- BERNAMA