RISDA Pertingkat Produktiviti Kebun Getah, Kurangkan Kos Pengeluaran Susulan Ketidaktentuan Global
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan terus memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti kebun getah, mengurangkan kos pengeluaran, mempertingkat kecekapan pemasaran serta menggalakkan kepelbagaian sumber pendapatan pekebun kecil.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata pendekatan menyeluruh itu diharap dapat meningkatkan daya saing industri getah negara, menjamin kelestarian bekalan getah asli serta memperkukuh daya tahan ekonomi dan kesejahteraan pekebun kecil dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“KKDW melalui RISDA sentiasa memantau perkembangan harga getah dunia serta faktor-faktor luaran termasuk ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dan turun naik harga petroleum yang boleh mempengaruhi permintaan serta harga getah asli di pasaran global.
“Bagi membantu pekebun kecil getah menghadapi ketidaktentuan harga serta meningkatkan daya tahan pendapatan mereka, RISDA melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti kebun, pengurangan kos pengeluaran dan pemerkasaan sistem pemasaran hasil getah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai bagaimana RISDA dapat membantu pekebun kecil getah mengimbangi perubahan harga semasa getah asli dan kos tuaian hasil agar prospek bekalan komoditi ini tidak terjejas dalam kecelaruan konflik Timur Tengah dan tenaga petroleum.
Rubiah berkata antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM) yang menyediakan bantuan input pertanian seperti baja, peralatan menoreh, bahan rangsangan lateks serta kerja-kerja penyelenggaraan kebun.
“Bantuan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pekebun kecil, malah meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah,” katanya.
Beliau berkata selain itu RISDA turut melaksanakan Program Fasiliti Pemasaran Getah (FASGET) melalui penyediaan Depo Pengumpulan Skrap dan Lateks bagi mengumpulkan hasil pekebun kecil sebelum dipasarkan secara pukal.
Menurutnya langkah itu bertujuan mengurangkan kos pengangkutan, meningkatkan kecekapan logistik serta memperkukuh kedudukan tawar-menawar pekebun kecil dalam pasaran.
RISDA turut memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) yang menyediakan perkhidmatan pembelian getah secara bergerak khususnya di kawasan pedalaman, katanya.
“Inisiatif ini memudahkan urusan penjualan hasil, menjimatkan kos dan masa perjalanan pekebun kecil, memperluas akses kepada saluran pemasaran rasmi serta memastikan hasil getah dapat dipasarkan dengan lebih cekap dan pada harga yang kompetitif,” katanya.
Selain itu, RISDA melaksanakan Program RISDA Sebagai Pembeli Getah Utama melalui RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) bagi menyediakan saluran pemasaran yang lebih tersusun, telus dan menawarkan harga belian yang kompetitif mengikut harga pasaran semasa.
-- BERNAMA