Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kelemahan Pasaran Minyak Soya, Minyak Mentah
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa susulan kelemahan dalam pasaran minyak soya dan minyak mentah, kata seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata jangkaan peningkatan pengeluaran dan tahap simpanan yang tinggi dalam negara turut mempengaruhi sentimen pasaran hari ini.
"“Kami mendapati harga paras sokongan melebihi RM4,550 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,680 setiap tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak Ogos 2026 dan Oktober 2026 masing-masing merosot RM33 kepada RM4,535 dan RM4,610 setiap tan manakala kontrak September 2026 turun RM34 kepada RM4,574 setiap tan.
Kontrak November 2026 susut RM28 kepada RM4,645 setiap tan manakala Disember 2026 dan Januari 2027 masing-masing berkurang RM26 kepada RM4,679 dan RM4,709 setiap tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 78,960 lot daripada 57,818 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 285,461 kontrak daripada 286,708 kontrak semalam.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan turun RM40 kepada RM4,540 setiap tan.
-- BERNAMA