Pernas Perkenal Bizfrancais Di PIHEX 2026, Buka Peluang Usahawan Teroka Francais Halal
GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) – Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) akan memperkenalkan BizFrancais buat julung kalinya di Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) 2026, sebagai platform strategik untuk memperluaskan peluang perniagaan francais halal dan patuh syariah kepada usahawan tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pernas berkata inisiatif itu selaras dengan agenda Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus memperkukuh ekosistem francais negara sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi halal.
PIHEX 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026 di Politeknik Seberang Perai itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ekspo ini bakal menjadi platform penting yang menghimpunkan pemain industri halal, usahawan dan pelabur untuk meneroka peluang kerjasama serta pengembangan perniagaan berasaskan model francais.
"Melalui BizFrancais, Pernas akan mengetengahkan 25 usahawan yang terdiri daripada francaisor tempatan dan usahawan yang telah menamatkan atau sedang mengikuti program pembangunan serta latihan francais di bawah bimbingan Pernas," katanya.
Antara jenama yang mengambil bahagian ialah Bubble Laundrette, D'Sara Fried Chicken, AZ Motorsport, Glocal Travel & Tours, Penawar Klinik dan Dewan Bersalin Muslimah Sdn. Bhd, Asia Aquatec, Mat Saleh Barber dan Malaya Revolutions Sdn. Bhd, selain pelbagai jenama tempatan yang lain.
Sehingga kini, zon utara merekodkan 338 usahawan francais tempatan, dan daripada jumlah itu sebanyak 127 usahawan berpangkalan di Pulau Pinang.
Industri francais kini turut merangkumi pelbagai sektor berpotensi tinggi termasuk pendidikan, perkhidmatan, penjagaan kesihatan, pelancongan, kecantikan dan kosmetik, selain sektor makanan dan minuman.
Sepanjang PIHEX 2026, Pernas akan menawarkan khidmat rundingan perniagaan secara percuma, maklumat mengenai program pembangunan francais, khidmat nasihat perniagaan serta kemudahan pembiayaan yang disediakan khusus kepada usahawan francais bumiputera.
-- BERNAMA