Lonjakan Indeks Daya Saing Bukti Ekonomi MADANI Pada Landasan Tepat - SAMENTA
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kejayaan Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 Indeks Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) membuktikan kerangka Ekonomi MADANI berada pada landasan tepat, khususnya menerusi komitmen kerajaan mengurangkan kerenah birokrasi.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih sedekad itu menyerlahkan potensi sebenar ekonomi apabila sektor awam dan swasta bekerjasama rapat.
“Penambahbaikan proses pentadbiran di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) serta penggubalan Akta Iltizam telah membuahkan hasil yang amat positif.
“Ini menyaksikan peningkatan ketara dalam kecekapan kerajaan yang naik 11 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia dan kecekapan perniagaan naik 16 anak tangga ke kedudukan ke-16 dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ng berkata indikator Tempoh Memulakan Perniagaan (Time to Start a Business) melonjak 38 anak tangga ke kedudukan ke-15 dunia manakala indikator Perundangan Perniagaan meningkat 29 anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dunia hasil pematuhan kawal selia yang lebih jelas dan teratur.
Beliau berkata ketahanan dan kelincahan ekonomi negara dalam menyesuaikan diri dengan perubahan rantai bekalan global semasa dunia berhadapan cabaran tenaga dan ketidaktentuan geoekonomi adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan dan warga industri.
Bagi mengekalkan momentum positif itu, Ng mencadangkan supaya fokus pengurangan birokrasi diperluas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun.
Beliau berkata tinjauan SAMENTA mendapati sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berhadapan cabaran tempoh pemprosesan lesen, permit dan pembaharuan yang sukar dijangka pada peringkat PBT, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos operasi serta ketidakpastian perniagaan.
Selain itu, beliau berkata SAMENTA menggesa kerajaan menetapkan penanda aras sekurang-kurangnya 40 peratus penglibatan rantaian bekalan tempatan bagi projek utama memandangkan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor berteknologi tinggi menawarkan peluang sangat luas kepada industri tempatan.
“Langkah ini penting bagi memastikan pelaburan syarikat multinasional turut menyokong pembangunan kapasiti PKS tempatan secara mampan,” katanya.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Ng mencadangkan agar fungsi Nexus Produktiviti diperkasakan daripada jambatan dasar kepada unit pelaksanaan khas bersama-sama persatuan perniagaan bagi menyediakan program digitalisasi serta peningkatan produktiviti khusus untuk perniagaan mikro dan kecil.
Selain itu, beliau menyifatkan kejayaan lonjakan indeks daya saing itu sebagai kemenangan untuk rakyat Malaysia, namun penglibatan awam-swasta pada peringkat tempatan perlu terus diperkasakan bagi membolehkan perniagaan tempatan bersaing di pentas dunia.
-- BERNAMA