BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 | 

Sinergi Selangor-Negeri Sembilan Pacu Koridor Pelaburan Baharu - Amirudin

SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) -- Sinergi pembangunan strategik antara Selangor dan Negeri Sembilan berpotensi mewujudkan koridor pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu memperkukuh daya saing wilayah tengah negara menerusi jaringan pelaburan, pembangunan industri berteknologi tinggi serta infrastruktur logistik yang lebih bersepadu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kedudukan geografi kedua-dua negeri yang berjiran memberikan kelebihan strategik dalam membangunkan ekosistem ekonomi rentas negeri yang lebih kompetitif.

Beliau berkata keselarasan hala tuju pembangunan antara kedua-dua negeri mampu mempercepat penyelarasan projek strategik, khususnya membabitkan kawasan Sepang di Selangor dan Nilai di Negeri Sembilan yang semakin berkembang sebagai lokasi tumpuan industri serta teknologi.

Ad Banner

“Trend pembangunan Selangor bergerak ke arah selatan, khususnya Sepang dan Kuala Langat, manakala Negeri Sembilan mempunyai Nilai dengan kawasan pembangunan hab teknologi serta kawasan sekitarnya.

“Ini membuka peluang untuk membangunkan kawasan antara dua negeri. Sebagai contoh, kedudukan Selangor Aero Park yang berhampiran kawasan Negeri Sembilan merupakan satu daya tarikan kepada pelabur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Amirudin berkata hubungan pembangunan yang lebih erat antara kedua-dua negeri dapat memudahkan penyelarasan isu berkaitan pelaburan, infrastruktur dan perancangan kawasan tanpa dibatasi sempadan pentadbiran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut beliau, penggabungan kekuatan Selangor dan Negeri Sembilan berpotensi mewujudkan koridor pertumbuhan ekonomi yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) berkata kelebihan strategik kawasan berkenaan turut diperkukuh dengan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), rangkaian lebuh raya utama serta perkembangan sektor teknologi dan industri bernilai tinggi.

Beliau berkata pembangunan bersepadu antara kedua-dua negeri mampu memberi nilai tambah kepada sektor pembuatan, logistik, teknologi dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serantau.

 

SEREMBAN BYPASS PERKUKUH HUBUNGAN INDUSTRI-PELABUHAN

 

Mengulas aspek infrastruktur logistik, Amirudin berkata cadangan pembangunan jajaran Seremban Bypass berpotensi memperkukuh hubungan antara pusat industri di Negeri Sembilan dengan rangkaian logistik utama di Selangor.

Menurut beliau, hubungan lebih baik antara kawasan industri, rangkaian rel serta pelabuhan utama seperti Westport dan Northport, selain pembangunan Pulau Carey, dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan aktiviti perdagangan dan eksport.

Amirudin berkata kerjasama strategik antara Selangor dan Negeri Sembilan mencerminkan pendekatan pembangunan baharu yang menekankan penyelarasan antara negeri bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16, manakala undi awal pada 28 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9

-- BERNAMA