Malaysia Mungkin Ada Kelebihan Disebalik Cadangan Tarif Buruh Paksa AS - Kenanga IB
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Cadangan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia di bawah langkah berkaitan buruh paksa Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kesan neutral terhadap prospek perdagangan, dengan negara ini berpotensi mendapat kelebihan berbanding pesaing serantau dengan tarif lebih tinggi, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Bagaimanapun, cadangan itu masih tertakluk kepada perundingan dan penentuan muktamad, dengan Malaysia masih berbincang dengan Wakil Perdagangan AS (USTR) di bawah komitmen Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).
"Sebaik sahaja rundingan selesai, persoalan utama pelabur ialah produk mana yang kekal dalam skop dan sama ada Malaysia akan mengekalkan kedudukan 10 peratus yang menyokong kelebihan relatif," katanya melalui satu nota penyelidikan tematik hari ini.
Dari perspektif makro, Kenangan IB tidak melihat cadangan langkah Seksyen 301 sebagai anjakan rejim makro untuk Malaysia.
Katanya, tidak seperti tarif timbal balik Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang kini tidak sah, tarif 10 peratus itu bertujuan menggantikan tarif sementara di bawah Seksyen 122 apabila tamat tempohnya menjelang 24 Julai 2026, dan bukannya disusun di atasnya.
Untuk produk yang tidak dikecualikan yang telah pun membawa tarif Seksyen 122, maka perubahan beban mutlak adalah terhad; bagi produk yang dikekalkan di bawah pengecualian Lampiran A akhir, hasilnya ialah pelepasan tarif.
“Lebih ketara lagi, Seksyen 122 digunakan secara seragam merentasi rakan dagang dan meninggalkan daya saing relatif tidak berubah, manakala cadangan kadar Seksyen 301 dibezakan dan Malaysia berada di peringkat bawah,” katanya.
Secara keseluruhan, Kenanga IB tidak menjangkakan langkah yang dicadangkan itu akan mengubah trajektori makroekonomi Malaysia yang lebih luas secara material dan kekal konstruktif pada unjuran pertumbuhan, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka pada hujung atas julat unjuran 4.5 peratus hingga 5.0 peratus pada 2026.
“Ini disokong oleh daya tahan berterusan dalam permintaan luar, dengan eksport diramalkan berkembang 9.7 peratus pada 2026 (2025: 6.4 peratus), di samping lebihan akaun semasa yang masih sihat sebanyak 2.1 peratus daripada KDNK (2025: 1.6 peratus),” katanya.
Ia tetap berpandangan bahawa Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada 2.75 peratus, dengan inflasi dijangka kekal terkawal pada 2.1 peratus tahun ini.
"Kami juga mengekalkan pandangan jangka sederhana yang membina terhadap ringgit, dengan unjuran USD/MYR pada 3.95 menjelang penghujung 2026 (akhir 2025: 4.06). Dinamik mata wang harus terus didorong terutamanya oleh faktor global, termasuk arah aliran dolar US, sentimen risiko global dan masa kitaran pelonggaran Rizab Persekutuan AS," tambahnya lagi.
-- BERNAMA