BERITA TERKINI   Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan kekal hingga PRU 16 - PM Anwar | Kerajaan akan menaikkan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat - PM Anwar | 

CTOS Bakal Jual 10 Peratus Pegangan Dalam Juris Technologies Pada Harga RM50 Juta

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Syarikat penilaian kredit CTOS Digital Bhd mencadangkan untuk menjual 10 peratus pegangan ekuiti dalam Juris Technologies Sdn Bhd kepada Natsoft (M) Sdn Bhd pada harga RM50 juta secara tunai.

Ini sekali gus mengurangkan pegangan sahamnya dalam syarikat pembangun perisian itu kepada 39 peratus daripada 49 peratus.

CTOS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menyatakan ia memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) pada 22 Julai dengan Natsoft, pemegang saham asal dan majoriti Juris bagi penjualan 100,000 saham biasa yang mewakili 10 peratus daripada modal saham terbitan dan berbayar Juris.

Ad Banner

“Cadangan penjualan ini konsisten dengan strategi CTOS untuk mengoptimumkan portfolio pelaburannya dengan menjana nilai kewangan aset bukan teras yang mempunyai sinergi strategik serta pengaruh yang terhad,” jelasnya.

CTOS menyatakan penjualan berkenaan akan membolehkan kumpulan itu meraih nilai daripada pelaburan minoritinya dalam Juris yang disifatkannya sebagai aset bukan teras dengan kawalan strategik dan sinergi operasi yang terhad selain membolehkannya memberi tumpuan semula kepada perniagaan terasnya.

CTOS turut memaklumkan bahawa pertimbangan penjualan itu ditentukan berdasarkan transaksi di antara pembeli dengan penjual yang bersedia, berpandukan penilaian ekuiti Juris yang dipersetujui sebanyak RM500 juta selepas mengambil kira penilaian syarikat-syarikat yang setara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Transaksi penjualan berkenaan dijangka selesai pada akhir Julai 2026.

Mengenai faktor risiko, CTOS menjelaskan penyelesaian cadangan penjualan itu tertakluk kepada pemenuhan obligasi penyelesaian di bawah SSA iaitu kegagalan untuk mematuhinya boleh menyebabkan transaksi tersebut ditangguhkan atau ditamatkan mengikut terma-terma perjanjian.

“Syarikat akan mengambil semua langkah yang munasabah bagi memastikan obligasi penyelesaian serta terma dan syarat seperti yang dinyatakan dalam SSA dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan bagi memudahkan penyelesaian cadangan penjualan tersebut,” katanya.

Ia turut menyatakan bahawa cadangan penjualan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan dan tidak bersandar pada mana-mana cadangan lain yang telah atau akan dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

CTOS selanjutnya memaklumkan cadangan penjualan tersebut tidak akan menjejaskan modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham utamanya memandangkan transaksi itu akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai dan tidak melibatkan terbitan saham biasa baharu.

“Lembaga pengarah, selepas mempertimbangkan semua aspek cadangan penjualan tersebut berpendapat cadangan penjualan ini adalah demi kepentingan terbaik CTOS dan pemegang sahamnya,” jelasnya.

-- BERNAMA