BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | 

Jangkaan Bekalan, B50 Indonesia Pacu Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Tinggi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya meningkat pada Rabu, dipacu jangkaan bekalan terhad, mandat B50 biodiesel Indonesia serta diskaun harga komoditi itu berbanding minyak saingan lain.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata walaupun pasaran diasak tekanan pada awal dagangan hari ini susulan kelemahan niaga hadapan olein sawit di Bursa Komoditi Dalian (DCE) dan minyak soya di Chicago Board of Trade (CBOT), sentimen pasaran kekal disokong oleh faktor asas yang kukuh.

Ad Banner

Pada masa sama, diskaun harga minyak sawit berbanding minyak pesaing, ancaman fenomena cuaca El Nino serta potensi kekangan bekalan berikutan pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia, juga terus menjadi elemen sokongan di pasaran.

“Ketika ini, pasaran menunggu data unjuran pengeluaran terkini bagi tempoh 1-20 Julai 2026 daripada UOB Kay Hian dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

“Ini menyusuli data Persatuan Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) yang menunjukkan pengeluaran minyak sawit di selatan Semenanjung susut kurang daripada satu peratus bagi tempoh sama berbanding 1-20 Jun 2026,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, sentimen pasaran turut didorong oleh kenyataan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan dalam julat RM4,400 hingga RM4,650 satu tan pada Ogos, disokong pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia, pasaran tenaga yang lebih kukuh serta prospek peningkatan ekonomi biodiesel.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Ogos 2026 turun RM5 kepada RM4,530 satu tan, September 2026 meningkat RM9 kepada RM4,583 satu tan dan Oktober 2026 naik RM12 kepada RM4,622 satu tan.

Kontrak November 2026 pula menokok RM9 kepada RM4,654 satu tan, Disember 2026 meningkat RM4 kepada RM4,683 satu tan dan Januari 2027 naik RM2 kepada RM4,711 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 110,403 lot daripada 78,960 lot semalam manakala kepentingan terbuka menokok kepada 291,077 kontrak daripada 285,461 kontrak, sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan tidak berubah pada RM4,540 satu tan.

-- BERNAMA