BERITA TERKINI   PRN NS: Semua pihak harus berkempen secara sihat berasaskan idea dan fakta, bukan fitnah atau perbuatan khianat - Fahmi | PM Singapura Wong umum perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain - PMO | Malaysia tetap pertahan kedaulatan negara sekat kemasukan warga Israel, tidak tunduk gertakan wakil kongres AS- PM Anwar | Pengambilan pelajar matrikulasi tanpa kira kaum, latar belakang sosioekonomi penting bagi pastikan akses pendidikan lebih adil - PM | 

Lonjakan Harga Minyak Dorong Jurang Dalam Pasaran Global, Saham AI Dan Semikonduktor Terus Tarik Pelabur - Penganalisis

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Di sebalik kebimbangan kemungkinan lonjakan harga minyak mentah Brent boleh menjejaskan pasaran global, beberapa indeks penting yang menerima manfaat daripada kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, dilihat masih menarik aliran pelaburan.

Sehubungan itu, penganalisis menyifatkan situasi sedemikian akan mewujudkan perbezaan prestasi yang ketara dalam pasaran.

Ad Banner

Pada 3.51 petang, harga minyak mentah Brent melonjak kepada US$94.68 setong daripada US$71.57 pada 1 Julai 2026. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga minyak yang tinggi mendorong jangkaan inflasi dan hasil perbendaharaan AS meningkat, menyebabkan keadaan kewangan global menjadi lebih mencabar dan memberi impak kepada sektor selain kelompok AI dan teknologi.

Dalam negara, katanya walaupun syarikat minyak dan teknologi tertentu dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan itu, hasil yang tinggi masih mengekang prestasi pasaran secara keseluruhan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ia menjadi perdagangan berasaskan perbezaan prestasi, dengan pasaran secara keseluruhan menghadapi tekanan dalam persekitaran sekumpulan saham minyak dan teknologi mendapat manfaat daripada trend semasa,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata harga minyak mentah Brent boleh mencecah melebihi US$100 setong apabila tekanan meningkat di kedua-dua laluan eksport utama Teluk berikutan ketegangan geopolitik yang memuncak.

Beliau berkata Selat Hormuz kekal sebagai laluan kritikal utama manakala ancaman baharu kumpulan Houthi di Laut Merah turut mengancam laluan alternatif tersebut.

“Dalam keadaan semasa, harga minyak berpotensi meningkat melebihi US$100 setong, terutamanya apabila inventori minyak negara-negara Barat telah hampir mencapai paras terendah.

“Permintaan China yang rendah dan stok simpanan yang besar mungkin dapat bertahan pada peringkat awal tetapi ia mungkin tidak dapat mengimbangi kejutan bekalan serantau yang berpanjangan terutamanya jika penampan inventori global terus menyusut,” kata Innes.

 

Strategi Kerajaan Mengurus Kenaikan Kos Tenaga 

 

Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia Nazmi Idrus berkata walaupun lonjakan harga minyak baru-baru ini boleh menambah tekanan terhadap kos subsidi kerajaan, langkah pembaharuan sebelum ini terutamanya rasionalisasi subsidi diesel dijangka dapat mengurangkan peningkatan subsidi akibat kenaikan harga bahan api semasa.

Beliau berkata pelarasan semula fiskal mungkin telah dilaksanakan untuk menangani kejutan kos semasa melalui mengurangkan perbelanjaan di kementerian lain selain meningkatkan kutipan hasil bukan cukai.

“Walaupun sedemikian, saya percaya sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2026 masih dapat dicapai berikutan KDNK telah mencatatkan prestasi yang lebih baik kebelakangan ini,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Dalam laporan Anggaran Awal KDNK bagi Suku Kedua 2026, DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.

-- BERNAMA