BERITA TERKINI   Pemimpin JPKK digesa laksana tanggungjawab penuh intergriti, perjelas peranan kerajaan - Anwar | F1: Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mansuh bayaran pendaftaran awal USD 1 juta, penganjuran percuma oleh Malaysia - PM Anwar | Keamanan dan kecemerlangan negara anjur program antarabangsa faktor Malaysia dipilih jadi tuan rumah perlumbaan F1 - PM Anwar | Sultan Nazrin cadang rangka kerja Tadbir Urus Wakaf Global sebagai prinsip teras yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf | Sultan Nazrin seru platform wakaf tunai digital diperluas untuk tingkat ketelusan | 

Bermodalkan Hanya RM100, Jualan 'Jacket Potato' Usahawan Muda Kini Laris

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 27 Julai (Bernama) – Bermula dengan hanya enam biji kentang bakar sehari dijual di hadapan rumah, seorang usahawan muda kini mampu menjual lebih 250 hidangan Jacket Potato atau Spud Potato setiap hari selepas menu berkenaan mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Pengusaha D’s Kentang, Danish Ekmal Edham, 23, berkata perniagaan dimulakan secara kecil-kecilan pada Januari lepas di Taman Perdana, di sini, berkembang pesat dalam tempoh enam bulan hasil permintaan yang semakin meningkat terhadap hidangan popular di United Kingdom (UK) dan negara Timur Tengah itu.

Ad Banner

Bekas barista sebuah rangkaian kedai kopi terkenal itu berkata minatnya menceburi bidang perniagaan bermula apabila sukar mendapatkan menu berkenaan di Batu Pahat.

“Sekitar November tahun lepas saya teringin hendak makan Jacket Potato, tetapi sukar mencarinya di Batu Pahat. Jadi saya cuba belajar sendiri dengan menonton video di media sosial.

“Hampir tiga minggu juga saya bereksperimen. Banyak kali gagal dan ibu serta ahli keluarga menjadi ‘tukang rasa’ sebelum saya berjaya menghasilkan resipi yang kini mendapat sambutan pelanggan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata ilmu yang dipelajari ketika di universiti banyak membantunya menguruskan operasi perniagaan selain mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya, Norazah Zainal, 50, dan Edham Wahab, 50.

Danish Ekmal berkata peningkatan permintaan menyebabkan beliau kini dibantu oleh adiknya, Dya Edlyn Edham, 22, selain tiga pekerja sambilan bagi memastikan operasi D’s Kentang berjalan lancar.

Menu ditawarkan kini merangkumi empat pilihan utama iaitu Original Classic dengan kacang panggang, Creamy Chicken, Black Pepper Beef dan Big Mac Beef, selain pelanggan turut boleh memilih gabungan dua perisa dalam satu hidangan.

“Selain pelanggan sekitar Batu Pahat, saya turut menerima pelanggan dari Muar dan Kluang. Malah, ada pelanggan tetap dari Singapura yang datang membeli setiap minggu.

“Saya juga mempunyai pelanggan dari negara Arab seperti Syria dan Jordan...mereka adalah pelajar di institusi pengajian tinggi di daerah ini,” kata Danish Ekmal yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.

Bagi memastikan kualiti hidangan sentiasa terpelihara, beliau hanya menggunakan kentang jenis Russet yang mempunyai tekstur lebih rangup selepas dibakar berbanding kentang biasa yang mudah menjadi lembik.

Dengan modal permulaan sekitar RM100, Danish berkata beliau kini memperoleh pendapatan kasar antara RM300 hingga RM600 sehari hasil jualan kentang bakarnya.

Sasaran seterusnya ialah membuka kiosk di premis komersial atau pasar raya bagi mengembangkan lagi perniagaannya, katanya.

Beliau menyasarkan jualan meningkat kepada 500 hidangan sehari menjelang hujung tahun ini menerusi promosi yang lebih agresif di media sosial dan jualan bergerak menggunakan konsep car booth sale di kawasan tumpuan.

“Saya juga bercadang memperkenalkan topping baharu setiap enam bulan supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

“Saya sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan dan terus belajar menghasilkan resipi baharu menerusi media sosial supaya kualiti serta cita rasa menu ini sentiasa dapat dipertingkatkan,” katanya.

– BERNAMA