Biodiesel Bakal Beri Penjimatan 386.7 Juta Liter Setahun, Tingkat Tempoh Bekalan Hingga 20 Hari
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Peningkatan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B12 atau B15 di Semenanjung Malaysia dan Sabah dianggarkan dapat mengurangkan penggunaan diesel petroleum sebanyak 334,139 tan setahun, bersamaan kira-kira 386.73 juta liter setahun.
Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi, berdasarkan Analisis Kos-Faedah (Cost-Benefit Analysis, CBA) oleh kementerian, ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, malah dijangka dapat memanjangkan tempoh bekalan diesel negara sehingga 20 hari.
“Ini membuktikan bahawa Program Biodiesel Negara berupaya memperkukuh sekuriti tenaga negara dan meningkatkan daya tahan Malaysia terhadap risiko gangguan bekalan serta ketidaktentuan harga
pasaran tenaga global,” jelas kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan penggunaan biodiesel di negara ini dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan membantu mengurangkan kos penggunaan diesel dalam kalangan pengguna domestik sedia ada.
Tambah kementerian, sejak Dasar Biobahan Api Negara diperkenalkan pada 21 Mac 2006, Program Biodiesel Negara telah menjadi antara instrumen strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara, menyokong pembangunan dan kestabilan industri sawit.
Menurut kementerian, keberkesanan pelaksanaan dasar ini dapat dilihat melalui pengurangan penggunaan diesel petroleum hasil penggantian sebahagian peratus diesel dengan biodiesel sawit iaitu Palm Methyl Ester (PME).
“Sebagai contoh, ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan krisis tenaga global yang menjejaskan rantaian bekalan serta harga bahan api, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kadar adunan biodiesel untuk sektor pengangkutan seluruh negara.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, memperkukuh keselamatan tenaga negara serta memanjangkan jangka hayat bekalan diesel sedia ada,” kata kementerian itu lagi.
-- BERNAMA