Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, didorong oleh tekanan jualan berterusan di kebanyakan kaunter saham wajaran tinggi selaras dengan prestasi serantau yang lemah dalam lonjakan harga minyak berikutan ketegangan berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI menurun 17.18 mata atau 1.00 peratus kepada 1,688.34 daripada 1,705.52 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 0.23 mata kepada 1,705.29 bergerak antara 1,687.44 dan 1,705.69 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 744 berbanding 336 manakala 417 kaunter tidak berubah, 1,334 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.22 bilion saham bernilai RM1.58 bilion.
Apex Securities Bhd memaklumkan pihaknya kekal berhati-hati terhadap sentimen risiko global dalam tempoh terdekat, dengan lonjakan harga minyak, peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan prospek kadar faedah yang cenderung kepada paras tinggi mewujudkan persekitaran yang tidak stabil.
Menurut firma broker saham itu, pelabur bakal menerima data inflasi yang penting dan keputusan dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu depan dalam ketidaktentuan yang meningkat.
“Bagi KLCI, kami menjangka sentimen kekal berhati-hati dalam masa terdekat berikutan harga minyak mentah yang tinggi terus meningkatkan tekanan kos di pasaran, dengan pelabur menunggu gambaran yang lebih jelas mengenai konflik di Asia Barat dan prospek kadar faedah AS,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.31 peratus kepada US$107.93 setong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun dua sen kepada RM10.44, Public Bank berkurangan enam sen kepada RM4.79, CIMB menyusut 10 sen kepada RM7.82, Tenaga merosot 12 sen kepada RM13.60 dan IHH Healthcare menurun 29 sen kepada RM7.60.
Saham diniagakan aktif termasuklah Top Glove menambah empat sen kepada 80.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 25.5 sen, Luster Industries dan Supermax, masing-masing mendatar pada 3.5 sen dan 43 sen manakala Hartalega meningkat lapan sen kepada RM1.19.
Kaunter paling untung diterajui oleh Petronas Chemicals meningkat 24 sen kepada RM5.06, Henyuan Refining naik 13 sen kepada RM3.52, Eurospan menokok 10 sen kepada RM3.07, Kerjaya Prospek dan Hibiscus Petroleum, masing-masing menambah lapan sen kepada RM3.60 dan RM2.35.
Kaunter paling rugi termasuklah Allianz Malaysia menurun 40 sen kepada RM21.28, Sunway Construction merosot 33 sen kepada RM7.58, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 32 sen kepada RM22.42, Hong Leong Bank menyusut 30 sen kepada RM23.30 dan Vitrox menurun 27 sen kepada RM9.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 114.41 mata kepada 12,524.74, Indeks FBM Top 100 merosot 118.92 mata kepada 12,319.31 dan Indeks FBM Emas Shariah menurun 105.56 mata kepada 12,397.14.
Indeks FBM Mid 70 berkurangan 143.90 mata kepada 17,756.70 dan Indeks FBM ACE merosot 59.24 mata kepada 5,253.20.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 203.14 mata kepada 19,700.96 dan Indeks Perladangan merosot 9.84 mata kepada 9,439.27.
Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.03 mata kepada 188.85 manakala Indeks Tenaga naik 5.69 mata kepada 825.13.
-- BERNAMA