Tiada Mekanisme Kawalan Harga Khidmat Pengecas EV, Galak Pelaburan Sektor Swasta - MITI
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak menetapkan sebarang mekanisme kawalan harga bagi perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam, sebaliknya kadar caj ditentukan oleh pengendali stesen pengecas berdasarkan pertimbangan komersial masing-masing.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pendekatan tersebut bertujuan menggalakkan penyertaan pelaburan sektor swasta dan mewujudkan persaingan yang sihat dalam penyediaan perkhidmatan pengecasan EV.
"Ini sekali gus mempercepatkan peluasan rangkaian pengecasan EV awam di seluruh negara," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia bagi menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew yang meminta MITI menyatakan bilangan stesen pengecas EV awam dan sama ada harga yang dikenakan oleh pengendali stesen pengecas EV tertakluk kepada rangka kerja kawal selia, mekanisme kawalan harga, syarat pelesenan atau pengawasan kerajaan.
Tambah MITI, sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 6,416 unit pengecas EV awam telah dipasang di seluruh negara, terdiri daripada 2,143 unit (33.4 peratus) pengecas pantas arus terus (DC) dan 4,273 unit (66.6 peratus) pengecas arus ulang alik (AC).
MITI menjelaskan bahawa daripada jumlah keseluruhan pengecas EV awam yang telah dipasang di Malaysia, sebanyak 6,176 unit atau 96 peratus melibatkan Semenanjung Malaysia, manakala 208 unit di Sarawak dan 32 unit lagi di Sabah.
Kementerian itu juga berkata walaupun kadar caj perkhidmatan pengecasan EV tidak dikawal oleh kerajaan, pembangunan dan pengoperasiannya tetap tertakluk kepada pelbagai keperluan kawal selia, standard teknikal dan aspek keselamatan yang dikuatkuasakan oleh agensi berkaitan termasuk MITI, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, menurut MITI, kerajaan telah menubuhkan dua mekanisme utama bagi memastikan pembangunan ekosistem EV dilaksanakan secara bersepadu.
"Mesyuarat Pasukan Petugas EV Kebangsaan yang dipengerusikan oleh MITI dan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bertanggungjawab memastikan pembangunan ekosistem EV tempatan dilaksanakan secara bersepadu," tambah MITI.
Katanya, melalui platform itu, isu merentas kementerian dan agensi, seperti aspek kawal selia, keselamatan, pelaksanaan projek, pembangunan infrastruktur pengecasan serta pertumbuhan industri EV dapat diselaraskan secara holistik bersama pemain industri dan pihak berkepentingan.
MITI memaklumkan kerajaan akan terus memastikan pembangunan rangkaian pengecasan EV dilaksanakan secara selamat, teratur dan berdaya saing melalui kerangka kawal selia yang komprehensif.
"Ini termasuklah kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti ST dan Tenaga Nasional Bhd dalam membangunkan kaedah pengawalseliaan caj pengecasan EV.
“Di samping itu, persekitaran pasaran yang kondusif dikekalkan bagi menggalakkan pelaburan swasta serta memperluaskan akses pengguna kepada kemudahan pengecasan EV di seluruh negara," jelas MITI.
-- BERNAMA