BERITA TERKINI   Gempa bumi magnitud 6.5 berlaku berhampiran Jakarta awal Sabtu, gegaran dirasai di Jawa, Sumatera - BMKG  | 

MAHB Jangka Tiga Lagi Syarikat Asing Mula Penerbangan Ke KL Menjelang Akhir 2026

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan sebanyak tiga lagi syarikat antarabangsa memulakan perkhidmatan penerbangan ke sini menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu dijangka mengukuhkan kesalinghubungan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau.

Ad Banner

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata perkembangan itu merupakan tambahan kepada rancangan syarikat penerbangan berpangkalan di Jerman, Lufthansa Airlines kembali ke ibu negara pada Oktober depan.

“Dari segi kesalinghubungan, kami ada banyak syarikat penerbangan baharu (ke Kuala Lumpur) pada 2026. Ini seperti Lufthansa Airlines yang akan kembali ke Terminal 1 pada Oktober dan kami juga teruja dengan perkembangan ini.

“Kami menjangkakan kehadiran empat syarikat (antarabangsa termasuk Lufthansa) sehingga akhir tahun ini. Butiran lanjut mengenainya akan kami umumkan tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama di luar sesi kunjungan rasmi MAHB ke Wisma Bernama pada Jumaat.

Ad Banner
Ad Banner

Kunjungan Mohd Izani dan pengurusan MAHB itu disambut oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Kehadiran delegasi itu turut disambut oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson dan pegawai lain.

Mohd Izani menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai peluang baik bagi MAHB untuk bertemu dengan barisan pengurusan Bernama selain saling bertukar pandangan serta meninjau peluang kerjasama.

Beliau turut berkongsi pendirian MAHB yang sentiasa peka terhadap faktor luaran, termasuk keadaan cuaca tidak menentu dan perkembangan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada operasi dan pada masa sama mengutamakan kesinambungan kesalinghubungan udara.

“Kami peka terhadap situasi (keadaan cuaca tidak menentu). Namun pada masa sama, objektif kami adalah untuk memastikan aspek kesalinghubungan ini terus terjamin.

“MAHB akan terus mempromosikan Malaysia. Sebagaimana yang anda tahu, krisis di Asia Barat memberi kesan tetapi berdasarkan angka pada Julai, (keadaan aliran trafik udara) bertambah baik dan diharapkan keadaan itu berterusan dalam bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun,” katanya.

Mohd Izani turut menyambut baik langkah kerajaan meneruskan Tahun Melawat Malaysia pada 2027 yang bakal memberi manfaat kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan negara ini dengan mengukuhkan peranan sebagai pintu masuk pengunjung asing ke Malaysia.

Pada 22 Julai 2026, MAHB mencatat sebanyak 51 juta pergerakan penumpang di serata rangkaian lapangan terbang kendaliannya di negara ini bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2026 yang merupakan peningkatan sebanyak 1.8 peratus bagi tempoh sama 2025.

Prestasi positif itu didorong oleh permintaan kukuh terhadap perjalanan antarabangsa walaupun aliran domestik menyederhana.

-- BERNAMA