BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Atlet berbasikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mara ke separuh akhir acara pecut wanita | Untung bersih Fraser & Neave (F&N) meningkat kepada RM93.58 juta bagi suku ketiga, manakala perolehan turun kepada RM1.20 bilion berikutan prestasi rendah F&B Indochina  | PRN NS: Mengundi tentukan masa depan, pilih pemimpin amanah - Fahmi  | PRN NS: Manfaatkan baki tempoh kempen untuk bekerja, bukan buat ramalan keputusan pilihan raya - PM Anwar  | Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada Disember ini - Akmal Nasrullah | 

Eppendorf Pindah Sebahagian Pengeluaran Ke P. Pinang, Fokus Pasaran Global

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Firma sains hayat Jerman, Eppendorf akan memindahkan sebahagian pengeluaran instrumen makmal terpilih daripada kemudahan sedia ada ke tapak pembuatan baharunya di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eppendorf Dr Christine Munz berkata produk yang dihasilkan di kemudahan Pulau Pinang itu akan diedarkan ke seluruh dunia terutamanya pasaran Amerika Utara dan Eropah.

"Produk yang dihasilkan di Pulau Pinang akan memenuhi permintaan pasaran antarabangsa, pada asasnya seluruh dunia. Pasaran utama yang akan kami sediakan dari Pulau Pinang ialah Amerika Utara dan Eropah," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pajakan kemudahan itu di sini hari ini.

Ad Banner

Munz berkata keputusan pemindahan ke Pulau Pinang itu dibuat secara strategik berdasarkan infrastruktur negeri itu, kumpulan bakat berkemahiran, kestabilan geopolitik serta rangkaian pembekal tempatan yang kukuh.

Pemindahan itu katanya melibatkan pelaburan sebanyak 40 juta euro atau kira-kira RM180 juta dalam kemudahan pembuatan bersepadu moden di Bandar Cassia Technology Park, yang akan menghasilkan produk terpilih di bawah portfolio Centrifuges and Instruments termasuk mesin empar, pengadun dan cyclers.

Pengeluaran daripada kemudahan itu dijangka bermula secara berperingkat pada 2028 dengan kemudahan itu dijangka menggaji kira-kira 130 pekerja menjelang akhir 2029.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perjanjian pajakan kemudahan itu ditandatangani antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Eppendorf, disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Chow berkata pelaburan Eppendorf mencerminkan keyakinan pemain industri global terhadap ekosistem perindustrian Pulau Pinang, selain memperkukuh keupayaan negeri itu dalam bidang peralatan saintifik dan pengukuran.

Kerajaan negeri mengalu-alukan peluang untuk syarikat itu bekerjasama dengan firma tempatan menerusi pembangunan teknologi, penyetempatan, pembangunan pembekal serta pengukuhan rantaian bekalan, kata Chow.

Eppendorf  yang menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur pada 1995, membangunkan dan menjual instrumen, produk guna habis dan perkhidmatan untuk makmal di seluruh dunia.

-- BERNAMA