Petronas LNG, Hokuriku Electric Meterai HoA Baharui Perjanjian Bekalan LNG Jangka Panjang
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Petronas LNG Ltd (PLL), memeterai Perjanjian Prinsip (HoA) dengan syarikat utiliti Jepun, Hokuriku Electric Power Company, bagi merundingkan dan memuktamadkan pembaharuan perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang.
Dalam kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan menerusi perjanjian yang dicadangkan itu, PLL dijangka meneruskan bekalan sehingga 0.54 juta tan setahun (MTPA) LNG kepada Hokuriku Electric bagi tempoh 10 tahun bermula 2028.
"HoA ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama jangka panjang antara Petronas dan Hokuriku Electric.
"Ia mencerminkan keyakinan bersama yang dibina selama ini, selain mengukuhkan kepercayaan, kebolehpercayaan serta kepentingan strategik hubungan antara Petronas dan Hokuriku Electric," menurut Petronas.
HoA berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PLL, Rosdi Ab Rahman, dan Presiden Hokuriku Electric, Koji Matsuda, di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2026.
Pada hari sama, kedua-dua pihak turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik dalam inisiatif berkaitan neutral karbon, menurut Petronas.
Petronas memaklumkan MoU itu mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua pihak untuk membangunkan rantaian bekalan LNG yang lebih berdaya tahan, meneroka bahan api generasi baharu termasuk hidrogen dan ammonia, tenaga boleh diperbaharui serta teknologi penyahkarbonan seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
Naib Presiden Eksekutif Petronas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan gas dan maritim, Datuk Adif Zulkifli, berkata Petronas kekal komited meneruskan bekalan LNG kepada Hokuriku Electric bagi menyokong keselamatan tenaga, daya tahan operasi dan agenda peralihan tenaga syarikat utiliti Jepun itu.
"Selain LNG, MoU berkaitan kerjasama neutral karbon ini mencerminkan aspirasi bersama kami untuk meneroka peluang baharu yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada kedua-dua pihak," katanya.
Petronas memaklumkan PLL merupakan pembekal tunggal LNG kepada Hokuriku Electric sejak perjanjian jual beli LNG sedia ada bermula pada 2018, dengan bekalan berkenaan digunakan untuk kemudahan jana kuasa berasaskan LNG syarikat utiliti itu di Loji Jana Kuasa Termal Toyama-Shinko.
"HoA ini bertujuan memastikan kesinambungan bekalan selepas tamat tempoh kontrak semasa, selain mengukuhkan kedudukan Petronas sebagai rakan kongsi LNG jangka panjang yang dipercayai oleh pembeli dari Jepun," menurutnya.
-- BERNAMA