BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Atlet berbasikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mara ke separuh akhir acara pecut wanita | 

Unit Petra Energy Lupus Dua Kapal Pada Harga RM61.31 Juta

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Petra Energy Bhd, Petra Marine Sdn Bhd (PMSB) telah memeterai dua memorandum perjanjian (MoA) untuk pelupusan kapal-kapalnya pada harga kira-kira RM61.31 juta.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata MoA pertama, yang ditandatangani dengan Beaufond Swissline FZ-LLC dari Emiriyah Arab Bersatu berlangsung pada 17 Julai bertujuan melupuskan Petra Orbit, sebuah tongkang kerja penginapan pada harga RM29.63 juta.

Ia juga memeterai MoA dengan AJR Oil & Gas Engineering Services Pvt Ltd yang berpangkalan di India pada 23 Julai untuk menjual tongkang kerja penginapan Petra Endeavour pada harga RM31.68 juta, katanya melalui makluman berasingan dengan Bursa Malaysia.

Ad Banner

Kedua-dua pelupusan adalah atas dasar kerelaan pembeli-penjual, selepas mengambil kira keadaan pasaran semasa dan penilaian kapal.

Syarikat itu berkata pelupusan itu adalah tepat pada masanya, membolehkannya mengewangkan aset tidak berprestasi dalam kumpulan dan mengoptimumkan nilai kapal pada harga yang berpatutan. 

Pada masa yang sama, pelupusan itu akan menghasilkan penjimatan masa depan dari segi kos simpanan tahunan, pengaktifan semula dan dok kering.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Petra Energy menjangkakan pengiktirafan keuntungan pelupusan bersih sebanyak RM2.25 juta daripada penjualan Petra Orbit dan keuntungan pelupusan bersih RM821,000 daripada penjualan Petra Endeavour.

Kedua-dua pelupusan itu dijangka selesai menjelang penghujung September 2026.

Menurut Petra Energy, hasil daripada kedua-dua pelupusan itu akan menyokong keperluan modal kerja kumpulan.

Pelupusan itu tidak akan mempunyai apa-apa kesan material ke atas modal saham syarikat dan pemegang saham besar langsung dan/atau tidak langsung untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026.

-- BERNAMA