Co-opbank Pertama Anjur MMKI 2026 Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Co-opbank Pertama (CBP) hari ini menganjurkan Muzakarah Muamalat Kewangan Islam (MMKI) 2026 untuk memperkukuh ekosistem dan memartabatkan kewangan Islam.
Dalam kenyataan pada Khamis, CBP menjelaskan MMKI 2026 bertemakan ‘Antara Realiti dan Persepsi: Memperkasa Naratif Perbankan Islam, Reputasi dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam’ itu menghimpunkan para ilmuan Islam dan pakar kewangan Islam.
Inisiatif itu bertujuan untuk membincangkan cabaran persepsi, keperluan memperkukuh keyakinan masyarakat serta peranan ilmu dan dialog dalam memperkasakan sistem kewangan Islam, tambahnya.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan para ilmuan menerusi MMKI supaya dapat mewujudkan garis pemisah yang jelas antara makhraj dan hilah yang buruk atau muslihat yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata atas kesedaran tersebut, pihaknya menganjurkan MMKI bagi edisi kedua dengan memilih tema ‘Antara Realiti dan Persepsi: Memperkasa Naratif Perbankan Islam, Reputasi dan Kredibiliti Sistem Kewangan Islam.
“Atas dasar itu juga, para ilmuwan pada hari ini berbahas mengenai pendirian hukum syarak sistem matawang untuk kita menyusun semula kepercayaan masyarakat terhadap sistem kewangan moden dan masa depan,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Baharom berkata penganjuran MMKI 2026 mencerminkan komitmen CBP dalam memperkukuh naratif kewangan Islam serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem kewangan Islam.
Menurut CBP dalam pada itu, penganjuran MMKI kali ini turut mencerminkan komitmen berterusan perbankan Islam tersebut dalam memperkukuh ekosistem dan memartabatkan kewangan Islam di Malaysia.
MMKI edisi pertama diadakan pada 2024.
-- BERNAMA