Bursa Malaysia Unjur Satu Atau Dua IPO Berskala Besar Pada Separuh Kedua Tahun Ini
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Bursa Malaysia Bhd mengunjurkan satu atau dua tawaran awam permulaan (IPO) berskala besar pada separuh kedua 2026 susulan langkah meningkatkan sasaran permodalan pasaran IPO sepanjang tahun kepada RM34 bilion disokong oleh senarai menunggu penyenaraian yang kukuh.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata sasaran yang disemak semula itu mencerminkan prospek yang menggalakkan daripada senarai menunggu IPO bursa berkenaan yang merangkumi penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE.
“Kami berharap dapat melihat beberapa IPO besar pada separuh kedua tahun ini dan saya yakin untuk menyatakan kita sepatutnya mampu menyaksikan satu atau dua IPO berskala besar,” katanya kepada pemberita selepas taklimat keputusan kewangan separuh pertama 2026 Bursa Malaysia di sini hari ini.
Bursa saham berkenaan baru-baru ini telah menaikkan sasaran permodalan pasaran IPO daripada RM28 bilion memandangkan ia telah melepasi jumlah keseluruhan bagi tahun penuh 2025 setakat ini.
Fad'l berkata Bursa Malaysia telah pun melepasi keseluruhan permodalan pasaran IPO yang dicatatkan pada 2025 dan semakan naik terhadap sasaran itu disokong oleh permohonan penyenaraian yang diterima serta saluran menunggu penyenaraian yang memberangsangkan.
— BERNAMA