Bursa Malaysia Pertimbang Insentif Tingkatkan Penyertaan Dalam Program MyValue Up
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia sedang mempertimbangkan pemberian insentif bagi menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam Program MyValue Up sebagai antara usaha untuk meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang dalam kalangan syarikat tersenarai.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad'l Mohamed berkata walaupun pemberian insentif itu masih dinilai, Bursa Malaysia akan terus memberi keutamaan untuk memastikan syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu menunjukkan komitmen untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dalam jangka panjang.
"Ya, kami sedang menilai jenis insentif yang berpotensi untuk ditawarkan. Namun bagi kami, keutamaan tetap diberikan untuk memastikan syarikat menunjukkan komitmen sebenar terhadap pelan penciptaan nilai jangka panjang ini, dan tidak semata-mata tertumpu kepada insentif," katanya kepada pemberita selepas taklimat prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2026 hari ini.
Menurutnya program sukarela yang dilancarkan pada 20 April telah menerima sambutan yang menggalakkan dan menarik minat syarikat senaraian awam (PLC) dan pelabur institusi.
Fad'l berkata Bursa Malaysia menjangkakan syarikat yang menyertai program itu akan mula mengemukakan pelan penciptaan nilai jangka panjang masing-masing menjelang akhir tahun ini.
Program itu dijangka menerima momentum yang lebih baik mulai awal tahun depan apabila pelan yang dikemukakan didedahkan kepada umum, sekali gus membolehkan pelabur menilai strategi penciptaan nilai syarikat.
"Program MyValue Up bertujuan meningkatkan pengiktirafan pasaran terhadap prestasi korporat serta menggalakkan penciptaan nilai tempatan terutama dalam kalangan syarikat yang mempunyai permodalan pasaran melebihi RM4 bilion.
“Program itu juga bertujuan membantu syarikat yang mengambil bahagian menjelaskan mengenai pelan penciptaan nilai jangka panjang mereka dengan lebih baik, meningkatkan penglibatan pelabur dan memberikan pelabur gambaran yang lebih jelas mengenai strategi jangka panjang mereka,” katanya.
Beliau berkata Bursa Malaysia akan terus mengadakan libat urus dengan PLC yang disasarkan dan menggalakkan penyertaan secara sukarela dalam program berkenaan.
-- BERNAMA