Axis-REIT Beli Kompleks Perindustrian Di Kedah Pada Harga RM113 Juta
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) sedang memperoleh sebuah kompleks perindustrian di Kawasan Industri Padang Meha, Padang Meha, Kedah pada harga RM113 juta.
Axis-REIT dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa cadangan pembelian hartanah berkenaan akan disempurnakan oleh vendor, WH Union Development dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian jual beli tersebut.
Hartanah itu seterusnya akan disewa kepada WH Union Development Sdn Bhd selepas tarikh siap.
Menurut Axis-REIT, cadangan pembelian itu seiring dengan objektif pelaburan dana dan strategi pertumbuhannya untuk menyediakan pengagihan pendapatan stabil kepada pemegang unit serta mencapai pertumbuhan dalam nilai aset bersih seunit Axis-REIT melalui pembelian hartanah berkualiti tinggi untuk menjana pendapatan dengan pendapatan sewaan berulang yang kukuh
Cadangan pembelian hartanah itu akan meningkatkan pendapatan boleh agih Axis-REIT dan menambah kepada portfolio hartanah yang akan memberi manfaat kepada dana itu dalam jangka panjang
Hartanah itu terletak di dalam Kawasan Industri Padang Meha, menempatkan pelbagai industri seperti pembuatan, automotif, tenaga dan teknologi hijau.
Cadangan pembelian itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dana berkenaan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2027 apabila siap kelak yang disasarkan pada suku pertama 2027.
-- BERNAMA