Proton-Geely Perkukuh Ekosistem Automotif, Tingkat Daya Saing Negara – Johari Ghani
Oleh Nur Afiradina Arshad
TANJONG MALIM, 31 Julai (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd dan Geely Holding Group terus memperkukuh daya saing industri automotif negara menerusi pemindahan teknologi, pembangunan harta intelek (IP), peningkatan kandungan tempatan serta pengukuhan ekosistem vendor automotif tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerjasama itu mencerminkan bagaimana pelaburan asing berkualiti mampu meningkatkan keupayaan syarikat tempatan apabila teknologi, kepakaran dan pengetahuan dikongsi secara bersama.
Beliau berkata pelaburan asing tidak seharusnya hanya menjadikan Malaysia sebagai pasaran jualan, sebaliknya perlu mewujudkan nilai tambah melalui pembangunan industri, peluang pekerjaan serta penglibatan pemain tempatan dalam rantaian bekalan global.
Menurut beliau, pendekatan itu dapat dilihat menerusi kerjasama Proton dan Geely yang membolehkan kedua-dua pihak membangunkan teknologi serta IP secara bersama, sekali gus memperkukuh keupayaan Proton untuk bersaing dalam industri automotif yang semakin mencabar, khususnya dalam era kenderaan elektrik (EV).
“Apabila pelabur datang ke negara kita, mereka bukan hanya mahu menjual kereta tetapi mahu bersama-sama membangunkan ekosistem sedia ada, termasuk memperkukuh keusahawanan dan pemain dalam industri komponen pembuatan.
“Ini membolehkan semua pihak mendapat manfaat melalui pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan keuntungan syarikat dan hasil kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan (Line-Off) Proton e.MAS 7 PHEV Pemasangan Tempahan di Kilang Pemasangan Proton EV di sini hari ini.
Kerjasama Proton-Geely Tingkat Kandungan Tempatan, Peluang Vendor
Johari berkata kerjasama Proton-Geely turut membantu meningkatkan kandungan tempatan bagi model tertentu kepada antara 72 hingga 82 peratus, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeluar komponen automotif tempatan.
Beliau berkata Proton kini berada pada tahap berbeza berbanding tiga atau empat dekad lalu apabila syarikat itu mempunyai keupayaan lebih besar dalam pembangunan IP sendiri hasil kerjasama strategik bersama Geely.
Geely memiliki 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, manakala 50.1 peratus lagi dimiliki oleh DRB-HICOM Bhd.
“Dahulu ada cadangan untuk menutup industri ini, tetapi hari ini Proton berjaya membina sebuah ekosistem yang menggaji hampir 10,000 pekerja, iaitu kira-kira 9,700 pekerja dengan penggunaan teknologi automasi.
“Jumlah pengeluaran pula melebihi 150,000 unit setahun, dan ini menjadi contoh kejayaan bagaimana kerjasama strategik mampu memperkukuh industri tempatan,” katanya.
Selain itu, Johari berkata Proton turut menyumbang kira-kira RM806 juta kepada hasil kerajaan melalui pembayaran cukai korporat, duti eksais, duti import dan cukai jualan.
Beliau berkata kejayaan Proton membuktikan pelaburan asing yang memberi fokus kepada pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan mampu menghasilkan kesan pengganda yang besar kepada ekonomi negara.
-- BERNAMA