PAAB Lengkapkan Terbitan Sukuk Biru RM720 Juta Bagi Infrastruktur Air
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) melengkapkan penerbitan sukuk biru berjumlah RM720 juta menerusi Pengurusan Air SPV Bhd di bawah Program Kertas Komersial Islam RM2 bilion sedia ada.
PAAB adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB Zulkiflee Omar berkata penerbitan itu mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap kekuatan kredit syarikat, pengurusan kewangan yang berhemat dan strategi pembiayaan jangka panjang yang mampan.
“PAAB akan terus menggerakkan modal mampan, bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam yang mampan, selain meningkatkan keselamatan air bagi masa depan.
“Pada masa sama, ia memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harga sukuk biru telah ditetapkan pada 29 Julai 2026. Penerbitannya membolehkan PAAB berada di barisan hadapan pasaran modal hutang kewangan Islam mampan untuk infrastruktur air, sebagai penerbitan sukuk biru terbesar global, di bawah Rangka Kerja Kewangan Islam Lestari (SIFF) PAAB.
Menurut PAAB, transaksi itu menarik permintaan yang kukuh daripada pelabur institusi, dengan jumlah pesanan sebanyak RM770 juta, mewakili lebihan langganan sebanyak 1.54 kali ganda berbanding saiz terbitan awal RM500 juta.
Hasil yang bakal diterima oleh PAAB pada 3 Ogos 2026 akan digunakan untuk membiayai portfolio projek yang layak yang telah dikenal pasti di bawah SIFF, termasuk Loji Rawatan Air Jernih di Melaka, Loji Rawatan Air Tok Bali di Kelantan dan Skim Bekalan Air Sultan Iskandar di Johor.
Tambah PAAB, semua projek yang dibiayai di bawah SIFF dinilai menerusi proses tadbir urus yang mantap bagi memastikan ia sejajar dengan prinsip kewangan mampan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan memberikan manfaat kepada alam sekitar.
-- BERNAMA