BERITA TERKINI   PRN NS: Mengundi tentukan masa depan, pilih pemimpin amanah - Fahmi  | PRN NS: Manfaatkan baki tempoh kempen untuk bekerja, bukan buat ramalan keputusan pilihan raya - PM Anwar  | Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada Disember ini - Akmal Nasrullah | Kerajaan tingkat bantuan SARA dalam Belanjawan akan datang sekiranya keadaan baik - PM Anwar | Bantuan untuk AIM akan dipertingkat dalam setiap Belanjawan - PM Anwar | 

Riyadh Air Mula Penerbangan Terus Ke Kuala Lumpur, Pintu Masuk Pertama Ke Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Riyadh Air melancarkan penerbangan terus antara Riyadh dan Kuala Lumpur, menjadikan ibu negara Malaysia itu sebagai pintu masuk pertamanya ke Asia Tenggara. 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan Arab Saudi itu menjelaskan bahawa penerbangan sulung antara Riyadh-Kuala Lumpur bermula pada 30 Julai lepas.

Ia melibatkan penerbangan pergi dan balik sebanyak tiga kali seminggu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ad Banner

“Penerbangan tanpa henti baharu ini menandakan satu pengembangan strategik bagi Riyadh Air, sekali gus memperkukuhkan kesalinghubungan antara Arab Saudi dan Malaysia, iaitu salah satu pasaran paling dinamik di Asia Tenggara,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Riyadh Air Tony Douglas berkata laluan baharu itu adalah lebih daripada sekadar hubungan langsung antara dua ibu kota kerana ia turut berperanan sebagai jambatan antara Arab Saudi dan rantau ASEAN. 

“Selain memastikan perjalanan yang lancar bagi perniagaan, pelancongan dan pendidikan, kami juga menyokong Wawasan Saudi 2030 sambil memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik dan dipacu secara digital untuk tetamu kami,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata Riyadh Air merupakan syarikat penerbangan Asia Barat Kesembilan yang menawarkan perkhidmatan ke KLIA.

Katanya, kehadiran Riyadh Air itu meningkatkan lagi hubungan antara lapangan terbang itu dengan rantau yang semakin penting untuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

“Bagi Malaysia Airports, ia adalah mengenai pembinaan rangkaian, dan memberi tetamu lebih banyak pilihan, sekali gus memperkukuh peranan KLIA sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara dan seluruh dunia.

“Kami berharap dapat menyokong Riyadh Air dalam usaha syarikat penerbangan itu mengukuhkan kehadirannya di sini dan meningkatkan hubungannya melalui Kuala Lumpur,” katanya. 

Dalam pada itu, penerbangan sulung itu turut diraikan dalam satu upacara masing-masing di Riyadh dan Kuala Lumpur, iaitu bermula dengan proses daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh.

Pada majlis sambutan di Kuala Lumpur pula, acara memotong riben di KLIA dihadiri Duta Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel Al-Ahmadi, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Muniayan, Mohd Izani dan Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air Vincent Coste.

-- BERNAMA