Pelaburan Asing Perlu Beri Manfaat Nyata Kepada Negara, Perkukuh Lebihan Dagangan - Johari
Oleh Nur Afiradina Arshad
TANJONG MALIM, 31 Julai (Bernama) -- Pelaburan asing yang dibawa masuk ke Malaysia perlu memberikan manfaat nyata kepada ekonomi negara, termasuk membantu memperkukuh lebihan dagangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata nilai import negara kini mencecah RM1.45 trilion walaupun eksport terus berkembang, dan peningkatan import akan menyebabkan lebihan dagangan negara semakin mengecil.
“Kita perlu pastikan (lebihan dagangan) tidak terus menguncup, angka itu mesti berkembang. Enam bulan terakhir ini (sahaja) lebihan dagangan kita telah mencecah RM147 bilion manakala bagi tahun lepas sepanjang tahun kita mencatat RM151 bilion,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan (Line-Off) Proton e.MAS 7 PHEV Pemasangan Tempatan di Kilang Pemasangan Proton EV di sini.
Johari berkata semua sektor industri, bukan hanya automotif, dipelawa untuk melabur di Malaysia dan perlu memikirkan sumbangan yang boleh diberikan kepada negara ini, bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai pasaran.
“Contoh Proton, sumbangan cukainya kepada negara kini sudah mencecah RM806 juta. Sumbangannya dari segi apa? Cukai korporat yang dibayar, kemudian bayar duti eksais.
“Kemudian Proton bayar duti import, bayar cukai jualan. Jadi, cukai pendapatan, cukai korporat, semua ini akan memberikan manfaat kepada negara." katanya.
Beliau berkata sesuatu pelaburan hanya mampu memberikan kesan pengganda yang besar kepada ekonomi negara sekiranya pelabur membangunkan perniagaan secara bersama dengan ekosistem industri tempatan, bukannya beroperasi secara berasingan.
“Bukan datang bawa pelaburan untuk “bunuh” pelaburan yang sudah ada. Kita mahu pelaburan itu wujud bersama dan melengkapi antara satu sama lain.
“Contoh Proton yang tidak ada peluang untuk meningkatkan pengeluaran dari segi teknologi. Jadi, Geely ada banyak teknologi, ada teknologi yang dikongsi dengan Proton dan kemudian harta intelek (IP) tertentu didaftarkan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata apabila wujud perkongsian sedemikian, pelaburan itu boleh dianggap sebagai satu perkongsian sebenar, bukannya sekadar datang untuk mengeksport kereta.
“Kalau kita nak buat sesuatu yang memberikan manfaat kepada rakyat, negara dan wujudkan peluang pekerjaan, saya akan memudah cara perkara ini.
“Saya dan Jemaah Menteri juga bersetuju untuk meneliti import kita yang telah mencecah RM1.45 trilion,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga telah menyediakan pelbagai insentif termasuk pengecualian duti eksais bagi menarik pelaburan dan berharap syarikat yang menikmati insentif itu dapat mengambil langkah yang memberikan pulangan kepada negara.
-- BERNAMA