MISC Peroleh Kontrak Sewa Jangka Panjang Kapal Pengangkut LNG Daripada Malaysia LNG
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- MISC Bhd memperoleh kontrak daripada Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) iaitu pengendali Kompleks Gas Asli Cecair (LNG) Petronas di Bintulu, Sarawak bagi sewaan jangka panjang sebuah kapal pengangkut LNG (LNGC) baharu berkapasiti 18,700 meter padu (cbm).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peneraju global dalam penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga itu menyatakan surat lantikan berkenaan menetapkan terma dan syarat utama yang akan menjadi asas kepada perjanjian sewa kapal berasaskan tempoh masa muktamad bagi kapal pengangkut LNG tersebut.
MISC memeterai kontrak pembinaan kapal pada 30 Julai, 2026 dengan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd, perusahaan pembinaan kapal terbesar di bawah China State Shipbuilding Corporation Ltd bagi pembinaan kapal pengangkut LNG baharu berkapasiti 18,700 cbm tersebut.
"Projek itu adalah bagi tempoh sewaan tetap selama 10 tahun dengan permulaan dijangka pada 2028. MISC menerusi anak syarikatnya akan menyediakan perkhidmatan penghantaran LNG berkenaan kepada MLNG, jelasnya.
Projek itu akan menyokong bekalan LNG berterusan Petronas ke Bandaraya Sendai, Jepun sekali gus memperkukuh rakan kerjasama yang telah lama terjalin iaitu selama hampir 30 tahun dan memastikan penghantaran LNG yang boleh dipercayai bagi memenuhi keperluan tenaga jangka panjang pelanggan, menurut makluman tersebut.
Ia turut menyokong program pembaharuan kumpulan kapal pengangkut LNG MISC melalui penggunaan kapal moden yang cekap bahan api sekali gus meningkatkan kecekapan operasi sambil mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta intensiti pelepasan keseluruhan.
Menurut MISC, projek berkenaan tidak akan menjejaskan modal saham dan struktur pegangan saham pemegang saham utamanya.
Ia juga tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan kumpulan termasuk perolehan sesaham, tahap kadar hutang dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.
Projek itu juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham MISC atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan, tambahnya.
-- BERNAMA