BERITA TERKINI   Untung bersih Fraser & Neave (F&N) meningkat kepada RM93.58 juta bagi suku ketiga, manakala perolehan turun kepada RM1.20 bilion berikutan prestasi rendah F&B Indochina  | PRN NS: Mengundi tentukan masa depan, pilih pemimpin amanah - Fahmi  | PRN NS: Manfaatkan baki tempoh kempen untuk bekerja, bukan buat ramalan keputusan pilihan raya - PM Anwar  | Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada Disember ini - Akmal Nasrullah | Kerajaan tingkat bantuan SARA dalam Belanjawan akan datang sekiranya keadaan baik - PM Anwar | 

Unit Genting Plantations Raih RM200 Juta Melalui Terbitan Pertama Sukuk Murabahah

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Genting Plantations Bhd, Bina Restu Bhd, melengkapkan terbitan pertama Sukuk Murabahah bernilai RM200 juta di bawah Program Sukuk Murabahah berjumlah RM2 bilion untuk membiayai aktiviti pembangunan hartanah kumpulan itu.

Menurut Genting Plantations dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sukuk Murabahah yang mempunyai tempoh matang lima tahun, diterbitkan pada 31 Julai berlandaskan prinsip Syariah Murabahah menerusi pengaturan Tawarruq dan tidak mempunyai penarafan.

"Hasil terbitan sukuk akan digunakan untuk membiayai dan/atau membayar balik kos pembangunan hartanah yang ditanggung kumpulan," menurutnya.

Ad Banner

Menurut syarikat, Bina Restu akan menyalurkan hasil terbitan itu kepada Genting Plantations dan/atau anak syarikatnya menerusi pendahuluan antara syarikat yang mematuhi prinsip Syariah.

Menurutnya dana yang diperoleh di bawah program RM2 bilion itu juga boleh digunakan untuk membiayai atau membayar balik kos pembangunan hartanah dan aktiviti berkaitan, termasuk pengambilalihan tanah, keperluan modal kerja serta perbelanjaan modal bagi projek pembangunan hartanah.

Selain itu, hasil terbitan berkenaan juga boleh digunakan untuk membiayai fi dan perbelanjaan berkaitan program ini termasuk menyalurkan dana kepada akaun yang ditetapkan, jika berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Public Investment Bank Bhd adalah penasihat utama dan pengatur utama bagi program itu, selain turut berperanan sebagai pengurus utama bagi terbitan bernilai RM200 juta.

-- BERNAMA