E&O, Majestic Gen Peroleh Tanah RM189.90 Juta Di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Eastern & Oriental Bhd (E&O) dan Majestic Gen Group memperoleh sebidang tanah pegangan bebas di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, bernilai RM189.90 juta daripada Twelve Kiapeng Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, E&O memaklumkan pemerolehan itu membabitkan tanah seluas 0.56 hektar yang turut menempatkan sebuah kondominium 30 tingkat.
Syarikat memaklumkan, pemerolehan tanah itu akan dilaksanakan oleh KP Urban Sdn Bhd, yang dimiliki secara bersama oleh KCB Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh E&O dengan pegangan ekuiti 66.67 peratus, serta Golden Urban Nite Sdn Bhd, syarikat bersekutu Majestic Gen Sdn Bhd dengan baki pegangan 33.33 peratus.
Menurut E&O, KP Urban bercadang membiayai pembelian itu menerusi gabungan pinjaman bank dan/atau kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada bank atau institusi kewangan lain, selain pendahuluan daripada pemegang saham.
“Komposisi akhir sumber pembiayaan akan ditentukan oleh KP Urban pada peringkat kemudian selepas mengambil kira, antaranya, tahap penggearan, keperluan aliran tunai serta kos pembiayaan,” menurutnya.
Pemaju hartanah itu memaklumkan cadangan pemerolehan berkenaan selaras dengan strategi perniagaannya untuk mengembangkan bank tanah menerusi KP Urban, sekali gus mengukuhkan pembangunan masa depan dan pertumbuhan mampan syarikat.
“Pemerolehan tanah itu membolehkan KP Urban melaksanakan projek pembangunan kediaman di lokasi strategik, sekali gus memperkukuh saluran projek dan prospek pertumbuhan masa depannya, tertakluk kepada kelulusan diperlukan serta keadaan pasaran semasa,” menurutnya.
Pengarah Urusan E&O Kok Tuck Cheong berkata pemerolehan itu akan terus memperkukuh portfolio pembangunan premium E&O dalam pasaran kediaman di seluruh negara.
“Lebih penting lagi, ia mengukuhkan keyakinan kami terhadap asas kukuh jangka panjang sektor kediaman mewah di Kuala Lumpur serta keupayaan kami mencipta nilai mampan kepada para pemegang saham,” katanya.
Tertakluk kepada tiada sebarang keadaan luar jangka, cadangan pemerolehan itu dijangka selesai pada suku pertama 2027.
-- BERNAMA