BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Atlet berbasikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mara ke separuh akhir acara pecut wanita | Untung bersih Fraser & Neave (F&N) meningkat kepada RM93.58 juta bagi suku ketiga, manakala perolehan turun kepada RM1.20 bilion berikutan prestasi rendah F&B Indochina  | PRN NS: Mengundi tentukan masa depan, pilih pemimpin amanah - Fahmi  | PRN NS: Manfaatkan baki tempoh kempen untuk bekerja, bukan buat ramalan keputusan pilihan raya - PM Anwar  | Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada Disember ini - Akmal Nasrullah | 

F&N Catat Untung Bersih Suku Ketiga Lebih Tinggi Kepada RM93.58 Juta

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) meningkat kepada RM93.58 juta pada suku ketiga berakhir 30 Jun 2026 (S3 TK2026) berbanding RM84.82 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, disebabkan oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah pada suku tersebut.

Bagaimanapun, syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia mencatatkan pendapatan yang lebih rendah pada suku tersebut iaitu RM1.20 bilion daripada RM1.25 bilion sebelumnya.

Ia terutamanya disebabkan oleh prestasi makanan dan minuman (F&B) Indochina yang lebih lemah, di mana pendapatan merosot 18.4 peratus di tengah-tengah keadaan pasaran yang lebih lembap dan penutupan sempadan yang berpanjangan.

Ad Banner

“Bagaimanapun, kepelbagaian portfolio kumpulan terus menunjukkan daya tahan, disokong oleh prestasi kukuh F&B Malaysia, yang mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 8.4 peratus didorong oleh keuntungan bahagian pasaran, keberkesanan pelaksanaan komersial dan momentum berterusan merentasi portfolio minuman serta tenusu,” katanya. 

Menurutnya, F&B Malaysia menunjukkan prestasi yang kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2026, dengan pendapatan meningkat 8.4 peratus kepada RM736.2 juta.

Ia didorong oleh pelaksanaan rangkaian yang lebih kukuh, jualan eksport yang lebih tinggi, pengembangan Magnolia yang dipercepatkan, serta momentum yang berterusan merentasi kategori minuman dan tenusu, disokong oleh kempen pemasaran yang berkesan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Operasi di Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di dalam pasaran, memperoleh bahagian dalam kategori gula sifar, susu cecair dan susu UHT,” katanya. 

F&N menambah 100PLUS Zero mengekalkan kepimpinannya dalam segmen gula sifar, mencatatkan pertumbuhan dalam kategori tersebut, manakala Magnolia mengembangkan penembusan isi rumah menerusi pengedaran yang lebih meluas, cadangan ‘Susu segar 100 peratus Magnolia’ dan program pengaktifan pengguna yang disasarkan.

Inisiatif itu telah mengukuhkan capaian jenama dan menyokong pertumbuhan berterusan di seluruh pasaran di Malaysia. 

Mengenai prospek bagi suku keempat 2026 yang akan datang (S4 TK2026), ia menjelaskan bahawa risiko daripada ketidaktentuan geopolitik global dan serantau, termasuk konflik di Asia Barat, kekal tinggi. 

“Tekanan kos dijangka kekal terurus, disokong oleh pengurusan perbelanjaan perdagangan yang berdisiplin, pengoptimuman rantaian bekalan dan kecekapan kos untuk khidmat pelayanan."

“Kumpulan ini akan terus mengutamakan pemacuan jualan dengan peningkatan jumlah cawangan, meneroka pasaran yang lebih baik dan mempercepatkan penembusan serta jangkauan susu segar 100 peratus Magnolia merentasi saluran utama," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pelarasan harga, sekiranya diperlukan, akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan hanya sebagai pilihan terakhir, selepas mengambil kira keadaan pasaran semasa serta kemampuan isi rumah.

Pada masa sama, kumpulan itu kekal fokus untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya dan membina daya tahan jangka panjang.

Langkah pengkomersialan kilang tenusu di Kemboja dijangka meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan, menambah baik kesinambungan bekalan dan menyokong pengembangan perniagaan tenusu di Indochina.

-- BERNAMA