Kerajaan Tanggung Subsidi LPG Hampir RM1.25 Bil Bagi Tempoh Jan-Mei
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan telah menanggung subsidi gas petroleum cecair (LPG) hampir RM1.25 bilion untuk tempoh Januari sehingga Mei 2026, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam jawapan bertulis bertarikh 29 Julai yang dikeluarkan hari ini di Dewan Negara, kementerian itu berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.02 bilion dibelanjakan untuk subsidi LPG bagi Semenanjung Malaysia, RM118 juta untuk Sabah dan RM102 juta kepada Sarawak.
"Pada ketika ini kerajaan mengambil pendekatan melaksanakan subsidi bersasar bagi produk petroleum terpilih dalam usaha membantu mengurangkan tekanan sara hidup kepada rakyat serta memastikan sektor penting negara terus beroperasi dengan stabil dalam keadaan geopolitik yang masih mencabar.
"Salah satu produk yang diberikan subsidi oleh kerajaan pada ketika ini adalah LPG," kata MOF ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa yang bertanyakan mengenai jumlah perbelanjaan subsidi LPG dan langkah-langkah berkesan yang telah diambil kerajaan untuk menangani isu ketirisan di pasaran.
Tambah kementerian itu lagi, kerajaan sentiasa proaktif dalam memantau rantaian bekalan LPG bersubsidi bagi memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang layak, mengurangkan ketirisan dan melindungi bekalan negara.
Selain itu, kementerian itu berkata tindakan penguatkuasaan yang tegas terus dipertingkat menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta agensi penguatkuasaaan lain untuk membendung sebarang bentuk ketirisan selain memastikan subsidi disalurkan hanya kepada penerima yang layak.
-- BERNAMA