BERITA TERKINI   Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | AirAsia menetapkan sasaran mengumpul dana US$1 bilion, kebanyakannya untuk membiayai semula pinjaman dengan kos tinggi - Tony Fernandes | Agong perkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta - BHEUU | Kenaikan harga bahan api pesawat kurang mencabar berbanding impak pandemik COVID-19 - Tony Fernandes | Malaysia dilantik sebagai anggota Lembaga Gabenor IAEA bagi penggal 2026-2028 - Kementerian Luar | 

MPOB Lantik Badrul Hisham Mohd Sebagai Ketua Pengarah Baharu Berkuat Kuasa Hari Ini

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengumumkan pelantikan Datuk Badrul Hisham Mohd sebagai Ketua Pengarahnya berkuat kuasa 3 Ogos 2026, berikutan persaraan Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir. 

Dalam satu kenyataan hari ini, MPOB menjelaskan bahawa Badrul Hisham mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik, selain turut terlibat dalam penggubalan dasar, pembangunan sektor pertanian, perladangan serta pengurusan strategik di pelbagai kementerian. 

Menurutnya, di bawah kepimpinan Badrul Hisham, MPOB dijangka terus memperkukuh tiga teras strategik penyelidikan dan pembangunannya, iaitu pendapatan tinggi, nilai tambah dan pembangunan mampan. 

Ad Banner

“Selain itu, ia juga akan terus memacu pengkomersialan teknologi, meningkatkan produktiviti industri dan mengukuhkan agenda kelestarian minyak sawit Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata agensi itu. 

Sementara itu, Badrul Hisham pula berkata MPOB kini berada pada tahap kematangan yang memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan industri minyak sawit negara kekal berdaya saing dalam landskap global yang semakin mencabar. 

“MPOB akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai agensi yang menerajui dalam pembangunan industri minyak sawit negara dengan memberi tumpuan kepada inovasi, kemampanan, ketelusan, kebolehjejakan dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta responsif selaras dengan aspirasi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK),” katanya. 

Ad Banner

Terdahulu, Badrul Hisham berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral), Kementerian Ekonomi sejak tahun 2025.

Beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selain di Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Sepanjang perkhidmatannya, Badrul Hisham memainkan peranan penting dalam pembangunan dasar, pengurusan sumber, transformasi organisasi dan penyelarasan dalam pelbagai inisiatif strategik di peringkat kebangsaan,” tambahnya. 

-- BERNAMA